Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ibu Tunggal Kerja Buruh Binaan, Angkat Beg Simen Selama 16 Tahun Demi Anak

Ibu Tunggal
Kredit: South China Morning Post

Ibu Tunggal Kerja Buruh Binaan, Angkat Beg Simen Selama 16 Tahun Demi Anak

Seorang ibu tunggal di China yang bekerja selama 16 tahun mengangkat beg simen berat di tapak pembinaan demi menyara kehidupan serta membiayai pendidikan anak perempuannya telah menyentuh hati ramai pengguna internet, lapor portal South China Morning Post.

Wanita bernama Wei Guiyun, 40, dari Daerah Qidong di Hengyang, wilayah Hunan menjadi tular selepas berkongsi kisah hidupnya di media sosial.

Pada tahun 2010, ketika berusia 24 tahun, dia mula bekerja sebagai buruh sambil membesarkan dua anak kecil.

Ketika itu, anak perempuannya berusia dua tahun manakala anak lelakinya masih beberapa bulan.

Menurut Wei, tekanan kewangan amat tinggi kerana bekas suaminya tidak bertanggungjawab dan enggan membantu menjaga anak-anak, memaksanya mencari pekerjaan bagi menyara keluarga.

Katanya, pekerjaan tersebut membolehkan beliau bekerja sambil menjaga anak dan menerima bayaran pada hari yang sama.

16 tahun angkat simen demi anak

Sepanjang 16 tahun, SCMP melaporkan bahawa Wei mengangkat beg simen seberat 25 kilogram menaiki tangga setiap hari dan dibayar sebanyak tiga yuan bagi setiap beg untuk setiap tingkat, dengan pendapatan harian sekitar 300 yuan jika mengangkat 100 beg.

Difahamkan, dia mampu membawa beban sehingga 150 kilogram dalam satu perjalanan dan tetap bekerja tanpa henti walaupun ketika datang haid.

Dalam tempoh tersebut, pendapatan bulanan Wei meningkat daripada lebih 2,000 yuan kepada sekitar 9,000 yuan, manakala berat badannya turut meningkat daripada 60 kilogram kepada 75 kilogram.

Kredit: South China Morning Post

Menurutnya, kerja berat yang dilakukan telah membina otot yang kuat sehingga kakinya menjadi sangat pejal.

Wei mengakui pekerjaan tersebut amat memenatkan, malah ibu bapanya berasa kasihan terhadap dirinya.

Pada awalnya, anak-anaknya juga tidak memahami dan berasa malu, namun apabila meningkat dewasa, mereka mula mengerti pengorbanan ibunya.

Kekuatan seorang ibu demi kejayaan anak

Menurut SCMP, Wei berpisah dengan suami beberapa bulan selepas kelahiran anak lelaki mereka sebelum bercerai secara rasmi.

Hasil usaha sendiri, Wei kini berjaya membina sebuah rumah di kampung halamannya.

Sejak Mac 2025, dia turut berkongsi kehidupan hariannya di media sosial menggunakan nama “Sister Yun the Porter”, sekali gus meraih hampir 450,000 pengikut serta pendapatan tambahan sekitar 2,000 yuan sebulan.

Kredit: South China Morning Post

Wei berkata, walaupun tubuhnya kadangkala terlalu penat, semangatnya tidak pernah luntur kerana ingin membesarkan anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan hingga ke universiti.

Anak perempuannya kini bakal menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti.

Ketabahan ibu tunggal jadi inspirasi

Pada musim panas lalu, SCMP melaporkan bahawa Wei telah berpindah ke Guangzhou di selatan China dan menyertai sebuah pasukan pemindahan barangan yang diketuai Li Guohui, menjadi satu-satunya wanita serta ahli paling berusia dalam kumpulan tersebut.

Pada hari pertama percubaan, Wei berjaya meraih pendapatan lebih 700 yuan dalam sehari, sekali gus ditawarkan pekerjaan tetap.

Kredit: South China Morning Post

Li menyatakan dia belum pernah melihat wanita melakukan kerja seumpama itu sebelum ini, namun Wei berjaya membuktikan kemampuannya, malah ada lelaki dalam pasukan tersebut yang tidak mampu menandinginya.

Kisah Wei turut mendapat perhatian meluas dalam kalangan pengguna internet di China, yang memuji ketabahan dan kekuatannya sebagai seorang ibu tunggal.