Identiti 'Budak Baju Kuning' Dalam Drama Si Lembik Akhirnya Terjawab
Sebuah klip drama televisyen tempatan popular era 1990-an, Si Lembik (1997), kembali mencuri perhatian apabila tular di platform Threads baru-baru ini.
Mana tidaknya, klip tersebut jelas mengundang nostalgia dalam kalangan netizen. Ini khususnya apabila ramai mula memberi fokus kepada barisan pelakon kanak-kanak yang membintangi drama berkenaan.
Apa yang mengejutkan, rata-rata netizen tidak menyangka bahawa salah seorang pelakon kanak-kanak dalam Si Lembik sebenarnya ialah pelakon terkenal hari ini, Liyana Jasmay.

Lakonannya yang kelihatan bersahaja namun penuh penghayatan membuatkan ramai memuji bakat semula jadi yang dimilikinya sejak kecil.
Namun, bukan hanya Liyana Jasmay yang menjadi bualan. Seorang lagi watak kanak-kanak perempuan yang mengenakan baju berwarna kuning turut mencuri perhatian penonton.
Watak tersebut merupakan rakan kepada Liyana dalam drama itu dan dilihat berjaya menghayati peranannya dengan baik.
Keberkesanan lakonan kanak-kanak berkenaan membuatkan netizen tertanya-tanya siapakah sebenarnya pelakon di sebalik watak 'budak baju kuning' itu.

Malah, ada yang membuat pelbagai tekaan termasuk mengaitkannya dengan nama pelakon terkenal seperti Anne Ngasri, Diana Danielle dan Sweet Qismina.
Jadi, siapa sebenarnya 'budak baju kuning' ni?
Bagaimanapun, teka-teki tersebut akhirnya terjawab apabila individu yang dipercayai adik kepada pelakon berkenaan tampil memberikan penjelasan di ruangan komen.
"Si baju kuning tu lah kakak saya Wanie. Bukan Anne Ngasri, bukan Diana Danielle, bukan Sweet Qismina ya.
"Baca komen macam-macam cakap artis itu ini, semua tu bukan," tulisnya.

Pendedahan itu sekali gus menamatkan spekulasi netizen dan mengundang reaksi teruja ramai yang akhirnya 'berjumpa' identiti sebenar pelakon kanak-kanak baju kuning yang sekian lama menjadi tanda tanya.