Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sempena sambutan ulang tahun ke-30 di Malaysia, IKEA Malaysia tampil menyokong usaha Yayasan Generasi Gemilang (YGG) menyediakan ruang pembelajaran awal yang lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak serta keluarga yang kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
Menerusi sumbangan pelbagai produk IKEA, jenama itu membantu menjayakan Ruang Play, pusat pembelajaran komuniti ibu bapa dan anak yang pertama diwujudkan oleh YGG.
Ruang Play direka khas untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun daripada keluarga kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan awal, selain menjadi ruang untuk ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak menerusi aktiviti bermain, belajar dan meneroka.

Inisiatif itu turut memberi sokongan kepada keluarga yang berdepan cabaran mendapatkan akses kepada pendidikan awal, termasuk mereka yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan tempat di tadika awam.
Bagi IKEA, aktiviti bermain bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi salah satu cara penting untuk kanak-kanak meneroka dunia, membina keyakinan serta mengembangkan asas pembelajaran sejak usia muda.
Pengurus Pemasaran dan PR Negara IKEA Malaysia, Amanda Low, berkata sokongan terhadap Ruang Play mencerminkan komitmen IKEA untuk mewujudkan kehidupan seharian yang lebih baik bukan sahaja di dalam rumah, tetapi juga dalam komuniti.
“Kami percaya kehidupan seharian yang lebih baik tidak hanya bermula di rumah. Ia juga bermaksud membantu membina masyarakat di mana setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk belajar, bermain dan merealisasikan potensi mereka.
“Sempena meraikan 30 tahun IKEA di Malaysia, kami mahu memberi kembali kepada masyarakat dengan cara yang mampu mewujudkan impak sosial yang berpanjangan,” katanya.
Antara produk yang disumbangkan IKEA Malaysia termasuk rak buku BILLY, dapur permainan DUKTIG dan rumah anak patung HUSET, selain pelbagai kelengkapan lain.

Produk-produk berkenaan dipilih bagi mewujudkan persekitaran yang dapat menggalakkan imaginasi, penerokaan secara kendiri serta interaksi bermakna antara kanak-kanak, ibu bapa dan tenaga pengajar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Generasi Gemilang, Melissa Ngiam, berkata tahun-tahun awal kehidupan kanak-kanak merupakan antara tempoh paling penting dalam perkembangan mereka.
Katanya, setiap keluarga seharusnya mempunyai akses kepada ruang yang dapat menyokong perkembangan anak-anak tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.
“Bagi banyak keluarga yang kurang mendapat akses, peluang mendapatkan pendidikan awal berkualiti bukan sesuatu yang mudah.
“Ruang Play diwujudkan bagi memberikan kanak-kanak dan keluarga mereka tempat untuk meluangkan masa bersama menerusi aktiviti bermain dan meneroka,” katanya.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada sambutan ‘Thank You Malaysia’ sempena ulang tahun ke-30 IKEA Malaysia, yang mencerminkan komitmen berterusan jenama itu dalam menyokong komuniti.
Melalui usaha seperti Ruang Play, IKEA Malaysia berharap dapat membantu mewujudkan lebih banyak ruang yang membolehkan kanak-kanak bermain, belajar dan berkembang, sekali gus memberi impak positif kepada keluarga serta komuniti untuk jangka panjang.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kemasyarakatan IKEA Malaysia, orang ramai boleh melayari laman rasmi IKEA Malaysia.