Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) baru-baru ini meraikan seramai 75 peserta Program Pembangunan Profesional (PDP) ILTIZAM Kohort 2025 dalam majlis graduasi, menjadikan jumlah keseluruhan graduan Bumiputera yang mendapat sokongan daripada program ini seramai 807 orang sejak diperkenalkan pada tahun 2012.
Sejajar dengan mandat sosial Ekuinas untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi, PDP menzahirkan komitmen ini melalui tumpuan kepada pembangunan bakat serta kesiapsiagaan kerjaya.
ILTIZAM merupakan platform impak sosial Ekuinas yang diwujudkan untuk memperkasa komuniti Bumiputera melalui inisiatif berfokus dan berimpak tinggi merentasi tiga (3) teras utama, iaitu Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti.
Program ini terus memainkan peranan penting dalam menangani isu pengangguran serta masalah guna tenaga tidak optimum dalam kalangan graduan, terutamanya mereka yang berasal daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Di bawah teras Pendidikan, ILTIZAM PDP ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai inisiatif bersasar bagi menangani isu pengangguran dan pekerjaan yang tidak setara kelayakan dalam kalangan graduan, khususnya belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

Dalam ucapannya semasa majlis graduasi, Aliff Omar Mohamad Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, berkata, “Sepanjang pelaksanaan program ini, kami menerima jumlah permohonan yang tinggi dan memberangsangkan dari seluruh negara. Setiap permohonan mewakili seorang graduan muda yang mempunyai harapan, tanggungjawab dan potensi."
"Proses pemilihan dijalankan dengan teliti dan berdisiplin, bagi mengenal pasti individu yang mempunyai semangat, daya tahan serta potensi yang tinggi. Kami yakin bahawa dengan bimbingan dan peluang yang sesuai, mereka mampu melangkah jauh.”
Program ini mengguna pakai pendekatan holistik dalam pembangunan graduan dengan menggabungkan latihan berstruktur di bilik darjah, bimbingan dan pementoran secara peribadi, serta penempatan pekerjaan bergaji selama 12 bulan di Ekuinas dan 28 organisasi lain yang merangkumi syarikat portfolio Ekuinas serta rakan strategik.
Bermula dengan kohort 2026, setiap peserta menerima gaji bulanan sebanyak RM2,800, dinaikkan daripada RM2,500 pada tahun-tahun sebelumnya.
Modul PDP merangkumi pembangunan Kepimpinan Kendiri, Interpersonal dan Perniagaan, Inovasi dan Keusahawanan, serta Pembinaan Kerjaya, bagi memastikan peserta dilengkapi dengan keupayaan menyeluruh untuk bersaing dalam persekitaran pekerjaan yang dinamik.
Sepanjang tempoh program, peserta dilantik sebagai Graduate Associate dan diberikan pendedahan secara langsung kepada tanggungjawab sebenar di tempat kerja. Pengalaman praktikal ini membolehkan mereka membina keyakinan diri, profesionalisme serta kemahiran praktikal yang penting bagi menjamin kejayaan kerjaya jangka panjang.

“Program ILTIZAM PDP memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara kelayakan akademik dan keperluan serta permintaan industri. Majlis graduasi ini melakar laluan kerjaya bagi 75 belia profesional. Melalui latihan berstruktur, pengalaman bekerja sebenar serta bimbingan berterusan dari pelbagai pihak, ILTIZAM PDP memperkasa para graduan dengan kemahiran insaniah, disiplin, daya tahan dan daya saing serta keyakinan yang diperlukan untuk melangkah ke alam pekerjaan serta membina kerjaya yang mampan,” Aliff Omar berkata.
Majlis tersebut turut menampilkan sesi panel reflektif bertajuk ‘Voices of Leadership’, bersama barisan kepimpinan kanan Ekuinas, terdiri daripada Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, Pengerusi Ekuinas, Dato’ Abdul Mutalib Alias, Ahli Lembaga Pengarah Ekuinas dan Pengerusi Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial Korporat (CSRC) Ekuinas serta Aliff Omar Mohamad Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas.
Para panelis berkongsi pandangan secara terbuka mengenai pengalaman awal kerjaya mereka, cabaran yang ditempuhi serta keutamaan yang dibentuk sepanjang perjalanan profesional masing-masing.
Sesi interaktif ini turut membuka ruang perbincangan secara terbuka bersama Kohort Graduan 2025, sekali gus membekalkan panduan praktikal dan dorongan bermakna kepada para graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan.
Majlis graduasi tersebut turut mengiktiraf pencapaian cemerlang peserta iaitu Muhammad Irfan Bin Mohammad Fuad, 29 tahun yang berasal dari Selangor. Beliau menerima Anugerah HARAP sebagai Graduate Associate Terbaik ILTIZAM PDP 2025. Beliau juga telah dipilih oleh rakan-rakan PDP sebayanya sebagai Valedictorian atau wakil pelajar bagi Kohort ILTIZAM PDP 2025.

Anugerah HARAP mengiktiraf sahsiah terpuji serta penghayatan kukuh nilai teras program, iaitu Humble, Agile, Resilient, Adab dan Profesionalism. Anugerah tersebut ditentukan berdasarkan penilaian sepanjang tahun oleh Ekuinas, organisasi penempatan pekerjaan, jurulatih serta mentor bertauliah.
Sementara itu, pengiktirafan Valedictorian diberikan kepada peserta yang menunjukkan prestasi akademik dan prestasi kerja yang konsisten cemerlang, ciri kepimpinan yang menonjol serta kecemerlangan menyeluruh sepanjang program. Pemilihan dibuat menerusi undian dalam kalangan kohort Graduate Associate yang memilih rakan sebaya paling menyerlah dari segi kepimpinan dan kualiti teladan sepanjang tempoh program.
Irfan yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Pelaburan di Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB), berkata, “ILTIZAM PDP merupakan kembara pencarian ilmu yang bermakna untuk saya. Sokongan, bimbingan dan pengalaman di tempat kerja membantu saya membangunkan kemahiran insaniah dan praktikal serta meningkatkan keyakinan diri. Saya memperoleh pemahaman yang bernilai tentang dinamik serta jangkaan di tempat kerja dan kini lebih bersedia untuk melangkah ke arah kerjaya secara lebih bermakna.”
Sejak penubuhannya, ILTIZAM PDP telah melahirkan graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor, termasuk pelaburan dan perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, perkhidmatan profesional, pendidikan, pembuatan, penjagaan kesihatan serta sektor awam, selain Ekuinas dan syarikat-syarikat portfolionya.
Program ini terus berkembang seiring perubahan keperluan pasaran, dengan modul latihan dan kerjasama industri yang sentiasa dikemas kini bagi memastikan para graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan.

Keupayaan menyesuaikan diri ini menjadi faktor utama dalam mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan yang kukuh serta memastikan program kekal relevan dari tahun ke tahun.
ILTIZAM PDP juga kekal sejajar dengan keutamaan pembangunan bakat negara, termasuk inisiatif GEAR-uP “Raise the Floor” oleh Kerajaan, yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pengukuhan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Pada tahun 2025, Ekuinas telah menyalurkan sekitar RM 12.7 juta melalui inisiatif ILTIZAM, dengan RM9.2 juta diperuntukkan khusus bagi program berteraskan pendidikan, termasuk ILTIZAM PDP.
Permohonan bagi Program Pembangunan Profesional ILTIZAM (PDP) 2027 dijangka dibuka pada Ogos 2026. Graduan Bumiputera yang layak mestilah berumur bawah 30 tahun, memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam mana-mana bidang pengajian dengan PNGK minimum 3.0, berasal daripada isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan, serta telah menganggur lebih enam bulan pada tarikh permohonan.