SEREMBAN, 10 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan 77 pendatang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam Operasi Mahir di dua premis perindustrian Nilai, di sini semalam.
Pengarahnya Mohd Razip Yasin berkata kesemua ditahan dalam operasi lebih tiga jam bermula 9.50 pagi itu, membabitkan 65 lelaki dan 11 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan berusia antara 17 hingga 50 tahun.
“Daripada jumlah itu, 39 merupakan warga Bangladesh, seorang Indonesia, Myanmar (29) Nepal (dua) serta India (enam).
“Kesemua ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Razip berkata tiga borang saman saksi turut dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis, untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.
Beliau menyeru orang ramai supaya melaporkan aktiviti berkaitan bagi membanteras kebanjiran pendatang di negara ini dan pihaknya akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi mereka.

