Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia Cadang Sistem “War Ticket” Untuk Tunaikan Ibadah Haji
Kementerian Haji dan Umrah Indonesia sedang mengkaji sistem baharu bagi menangani isu masa menunggu haji yang sering mengambil masa sehingga puluhan tahun, lapor Tempo.
Menteri Haji dan Umrah, Mochammad Irfan Yusuf berkata antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk menghapuskan sistem senarai menunggu (waiting list) dan beralih kepada mekanisme ‘war tiket’ atau pendaftaran secara langsung.
Irfan berkata sistem tersebut pernah dilaksanakan di Indonesia sebelum akhirnya dibentuk Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH).

“Secara jujur, apabila kita berbicara mengenai sistem giliran, timbul persoalan dalam Kementerian Haji sama ada perlu atau tidak kita mengekalkan tempoh menunggu yang begitu lama
"Atau adakah perlu kita fikirkan untuk kembali kepada era sebelum wujudnya Badan Pengelola Keuangan Haji?” katanya.
Beliau menjelaskan pada masa lalu, sistem yang digunakan adalah pendaftaran terus atau ‘war tiket’.
Ketika itu, kerajaan akan mengumumkan kos haji bagi tahun berkenaan serta kuota yang tersedia, sebelum membuka pendaftaran dalam tempoh tertentu.
Difahamkan, individu yang memenuhi syarat dari segi kemampuan kewangan dan kesihatan boleh terus mendaftar.
Menurut Tempo, jemaah yang berangkat adalah mereka yang terlebih dahulu berjaya melunaskan kos haji serta mendapatkan tiket.

“Kerajaan mengumumkan kos haji tahun ini, manakala pembukaan pendaftaran bermula pada tarikh yang diumumkan hingga tarikh tertentu
"Jadi sesiapa yang ingin menunaikan haji boleh membuat bayaran. Ia seperti ‘war tiket’
“Perlukah kita memikirkan perkara seperti ini semula? Sudah tentu ia bukan keputusan yang mudah untuk dibuat. Namun sebagai satu wacana, ia tidak salah untuk dipertimbangkan,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, sistem senarai menunggu haji mula dilaksanakan di Indonesia pada tahun 2008.
Sistem ini diperkenalkan kerana permintaan masyarakat untuk menunaikan haji sangat tinggi sehingga melebihi kuota tahunan yang diberikan oleh Arab Saudi.
Menurut Tempo, Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) pula mula ditubuhkan pada tahun 2017.
Sebelum itu, urusan pendaftaran serta pengurusan dana haji dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Agama.
Tempoh menunggu jemaah haji di Indonesia berbeza mengikut kawasan, iaitu antara belasan hingga maksimum 47 tahun. Namun bermula tahun ini, kerajaan menyamakan tempoh menunggu haji kepada 26 tahun untuk semua wilayah.
Cadangan untuk menghapuskan sistem senarai menunggu dan memperkenalkan semula sistem ‘war tiket’ ini timbul susulan arahan Presiden Prabowo Subianto yang mengarahkan Kementerian Haji melakukan reformasi besar terhadap pengurusan ibadah haji.
Dalam mesyuarat bersama jemaah Kabinet Merah Putih di Istana Negara pada Rabu lalu, beliau menyatakan hasrat untuk memendekkan tempoh menunggu haji yang selama ini menjadi isu utama umat Islam di Indonesia.
“Kita kini berusaha dan Alhamdulillah kita menerima laporan bahawa tempoh menunggu haji tidak lagi 48 tahun
"Bermula 2026, tempoh maksimum adalah 26 tahun, dan saya akan terus berusaha untuk memendekkannya lagi,” kata Prabowo.