Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Infantino Terbuka Untuk Dialog Mengenai Reformasi Tadbir Urus FIFA

Reformasi tadbir urus FIFA
Kredit: AFP

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, pada Isnin menyatakan keterbukaannya untuk mengadakan dialog mengenai reformasi badan induk bola sepak dunia itu.

Infantino terbuka untuk dialog mengenai reformasi tadbir urus FIFA

Dalam surat kepada anggota Majlis FIFA serta presiden 211 persatuan anggota FIFA, Infantino mengemukakan dua cadangan reformasi menjelang mesyuarat Majlis FIFA pada 15 Okt, menurut laporan Anadolu, memetik The Athletic.

Cadangan pertama adalah supaya Majlis FIFA mempertimbangkan pelantikan badan luar yang bebas bagi menjalankan semakan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA ketika ini, khususnya berkaitan inisiatif strategik utama, selain mengemukakan cadangan penambahbaikan.

“Pertama, saya akan meminta Majlis mempertimbangkan sama ada ia mahu melantik badan luar yang bebas untuk menjalankan semakan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA bagi inisiatif strategik utama dan mengesyorkan penambahbaikan yang berpotensi,” katanya dalam surat itu.

Cadangan kedua pula melibatkan penubuhan proses rundingan secara langsung, berstruktur dan terhad tempoh bersama konfederasi, persatuan anggota serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memperkukuh proses membuat keputusan FIFA.

Rundingan itu akan memberi tumpuan kepada cadangan berkaitan penglibatan institusi pada peringkat lebih awal, peranan Presiden, Biro, Majlis dan Kongres FIFA, selain langkah praktikal bagi meningkatkan ketelusan, penyertaan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan inisiatif strategik utama.

Infantino turut menegaskan bahawa proses demokrasi, kebebasan serta kuasa FIFA dalam hal ehwal sukan tidak pernah dijual.

“Proses demokrasi FIFA, kebebasan dan kuasa sukan tidak pernah dijual. Ia tidak dijual dan tidak akan pernah dijual,” katanya.

Cadangan reformasi itu bagaimanapun perlu diputuskan oleh Majlis FIFA, badan pembuat keputusan utama FIFA yang mempunyai 37 anggota, sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.

Infantino berdepan tekanan yang semakin meningkat selepas melancarkan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) pada musim panas ini, sebelum ia ditarik balik susulan bantahan meluas.

Cadangan berkenaan melibatkan penjualan kepentingan dalam sebuah syarikat yang mengawal hak komersial Piala Dunia dan pertandingan FIFA lain kepada pelabur swasta.

Walaupun cadangan itu telah ditarik balik, beberapa persatuan bola sepak kebangsaan dan badan pentadbir benua terus mempersoalkan kepimpinan Infantino.

Sumber:Anadolu
Intipati
  • Infantino terbuka mengadakan dialog mengenai reformasi tadbir urus FIFA menjelang mesyuarat Majlis FIFA.
  • Beliau mencadangkan semakan bebas terhadap rangka kerja tadbir urus dan proses rundingan berstruktur.
  • Cadangan itu menyusul penarikan balik pelan FIFA Forward Enterprise selepas bantahan meluas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan