Pernah nampak bekas berwarna hitam diletakkan di kawasan perumahan, tetapi tertanya tanya apakah fungsinya?
Jangan terburu buru menganggap bekas itu sampah atau membuangnya begitu sahaja.
Bekas berkenaan mungkin merupakan ovitrap, iaitu alat yang digunakan untuk memantau kehadiran dan populasi nyamuk Aedes di sesuatu kawasan.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads yang dikenali sebagai @pakcik_nyamuk, seorang ahli entomologi yang sering berkongsi maklumat berkaitan serangga dan nyamuk.
Menerusi perkongsiannya, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu atau membuang bekas berkenaan sekiranya ia diletakkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kawan kawan sekalian! Bekas hitam ni namanya ovitrap. Kalau nampak bekas macam ada diletakkan di kawasan rumah oleh orang KKM, please jangan diganggu atau dibuang tau.
“Itu bermaksud densiti nyamuk Aedes sedang dipantau di kawasan rumah korang. Untuk kebaikan kita semua juga untuk mencegah demam denggi,” katanya.
Ada Yang Baru Tahu, Ada Pula Tersalah Sangka
Perkongsian itu turut menarik perhatian pengguna lain yang mengakui mereka baru mengetahui fungsi bekas berkenaan.

Seorang pengguna, @danieljamesjimponeymosikul, berkata: “Aku baru tahu tentang benda ni. Macam ni pula kan untuk study density nyamuk.”
Dalam pada itu, pengguna @ohhbajuku berkongsi pengalaman lucu apabila menyangka bekas berkenaan sebagai bekas klinikal yang dibuang merata rata.
“Ovitrap ke? Kita dok bebel cakap siapa suka suka buang bekas klinikal merata ni sebab nampak bulan sabit tu dari jauh. Nasib tak kutip masuk plastik hitam,” tulisnya secara berseloroh.
Sementara itu, pengguna @nrmrh turut berkongsi pengalamannya ketika belajar dahulu apabila perlu memasang perangkap seumpama itu untuk mengkaji populasi dan jenis nyamuk serta perosak yang sesuai dipantau di sesuatu kawasan.
“Dulu time study kena pasang sendiri. Nak tengok population jenis jenis nyamuk dan jenis jenis pest yang sesuai untuk kawasan tu,” komennya.
Pengguna @asikin_0215 pula menjelaskan bahawa penggunaan perangkap berkenaan bergantung pada parameter kajian yang ingin dijalankan oleh ahli entomologi.
Malah, pengguna sama turut berseloroh membayangkan reaksi Pakcik Nyamuk apabila ada yang masih keliru tentang fungsi alat tersebut.
“Dalam hati pakcik mesti jawab, dia ni tak habis habis dengan sensor dia,” tulisnya.
Jangan Tersalah Anggap
Walaupun kelihatan seperti bekas biasa, ovitrap mempunyai fungsi dalam pemantauan nyamuk Aedes.
Jadi, jika ternampak bekas seumpama itu di kawasan rumah, elakkan daripada mengalih, mengganggu atau membuangnya jika ia dipercayai dipasang untuk tujuan pemantauan oleh petugas kesihatan.
Sekiranya tidak pasti tentang tujuan bekas tersebut, orang ramai boleh bertanya kepada petugas yang berkaitan daripada terus mengalihkannya.
Kadangkala, sesuatu yang kelihatan biasa di sekeliling kita sebenarnya mempunyai fungsi penting yang ramai belum tahu.

