Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ingin Kekal Bertenaga Sepanjang Puasa? Elak 7 Kesilapan Ini Ketika Sahur
Ramadan kembali lagi dan seperti biasa, suasananya dipenuhi keterujaan.
Persiapan telah dilakukan lebih awal, termasuk merancang juadah sahur dan berbuka, serta menetapkan azam untuk berpuasa dengan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Namun hakikatnya, tidak sampai tengah hari, ada yang sudah mula menguap panjang, mengalami sakit kepala atau berasa lesu. Ada juga yang cepat hilang fokus ketika bekerja atau menuntut ilmu.
Ramai menyangka keadaan itu normal kerana menahan lapar dan dahaga. Puncanya sering bermula lebih awal iaitu ketika sahur.
Cara dan pilihan makanan ketika sahur memberi kesan besar terhadap tahap tenaga, hidrasi dan kestabilan emosi sepanjang hari.
Jadi, SK hari ini ingin berkongsi tujuh jenis makanan yang perlu dielakkan ketika sahur, menurut Hello Doktor.
Berikut adalah beberapa makanan yang perlu dikurangkan atau dielakkan pengambilannya ketika sahur:
Garam
Pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam atau masin boleh meningkatkan rasa dahaga sepanjang tempoh berpuasa.
Lebih bahaya, makanan yang masin ini boleh menyebabkan anda terdedah kepada risiko jangkitan penyakit kronik seperti hipertensi dan serangan jantung.

Bukan itu sahaja, makanan dengan kandungan garam yang banyak boleh merangsang rasa haus.
Jadi elakkan makanan masin seperti ikan masin, jeruk atau makanan dalam tin ketika waktu bersahur.
Nasi
Nasi merupakan makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Ia adalah pilihan ramai untuk mengalas perut ketika sahur.

Namun sebaiknya anda elakkan pengambilan nasi pada waktu sahur. Atau paling tidak hadkan saiz hidangan nasi anda.
Ini kerana nasi mudah dicerna dan boleh menyebabkan anda lebih cepat kehabisan tenaga.
Keadaan tersebut pastinya akan membuatkan anda berasa cepat lapar.
Makanan pedas
Seperti nasi, makanan pedas boleh dikatakan antara lauk popular dan kegemaran ramai.
Tetapi pengambilannya secara berlebihan mungkin boleh mengakibatkan ketidakselesaan perut.
Anda akan terdedah dengan risiko untuk mengalami keadaan seperti pedih perut atau cirit-birit, sekali gus menyebabkan anda mendapat dehidrasi.

Makanan yang pedas juga boleh membuat anda lebih cepat haus.
Sebaiknya elakkan makanan pedas ketika bersahur dan ambillah dalam kuantiti yang sedikit ketika berbuka.
Minuman berkafein
Minuman berkafein seperti kopi boleh dianggap sebagai 1 minuman wajib ada bagi penggemarnya.
Namun begitu, minuman berkafein dikatakan bersifat diuretik dan akan dicerna dengan lebih cepat.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan anda lebih cepat kehilangan cecair dalam badan kerana kerap kencing.
Sekiranya bekalan air dalam badan berkurangan, pasti ia boleh mengakibatkan anda mengalami dehidrasi dan cepat keletihan.
Makanan & minuman manis
Makanan mahupun minuman yang tinggi kandungan gula akan membekalkan kalori yang tinggi, tetapi ia tidak bertahan lama.
Kebanyakan gula dalam makanan dan minuman adalah dari jenis gula ringkas, iaitu ia cepat menghasilkan tenaga dan mudah habis.

Ini bermakna anda sukar untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman tinggi kandungan gula pastinya baik untuk kesihatan kerana ia dapat menghindari diri daripada pelbagai jenis masalah kesihatan seperti obesiti.
Makanan tinggi kandungan lemak
Pengambilan makanan tinggi kandungan lemak seperti makanan bergoreng atau makanan segera boleh mengganggu dan melambatkan proses pengosongan perut.
Eh, baguslah kalau lambat kosong, lambat lapar. Tetapi benarkah ia bagus?

Sudah tentulah tidak. Ini kerana ia boleh menyebabkan wujudnya simptom sembelit.
Di samping itu, makanan yang mengandungi lemak ini boleh mengakibatkan anda mengalami cirit-birit kesan daripada sistem pencernaan yang terlalu cepat.
Tidak bersahur
Jangan terkejut, sememangnya ada kelompok individu yang tidak gemar bersahur.

Antara alasan paling biasa adalah kerana malas bangun pada waktu bersahur.
Tetapi malangnya tabiat seperti itu adalah tidak baik untuk kesihatan kerana anda akan membiarkan perut anda kosong untuk tempoh lebih 12 jam.