Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah tak terfikir, selama ini cara kita cuci buah dan sayur betul ke tidak?
Walaupun nampak bersih, buah dan sayur mentah masih boleh membawa bakteria, kotoran atau mikroorganisma lain. Sebab itu, cara mencucinya penting untuk mengurangkan risiko jatuh sakit.
Sebelum cuci buah dan sayur, pastikan tangan dah dibasuh dengan sabun sekurang-kurangnya 20 saat dan pastikan sinki, pisau dan papan pemotong pun bersih supaya kotoran atau kuman tak berpindah ke makanan.
Buah dan sayur pula sebaiknya dibilas dengan air paip sejuk yang mengalir. Elakkan guna air suam atau panas kerana perubahan suhu boleh menyebabkan sesetengah buah dan sayur menyerap kotoran atau kuman melalui kulit.
Satu lagi, jangan sesekali guna sabun, detergen atau peluntur untuk mencuci buah dan sayur sebab bahan-bahan ini boleh meninggalkan sisa yang mungkin diserap oleh makanan.
Untuk buah atau sayur yang berkulit keras, boleh gunakan berus khas untuk menggosok bahagian yang mempunyai celah atau permukaan yang susah dibersihkan.
Tapi kena ingat, mencuci buah dan sayur bukan bermaksud semua kuman akan hilang sepenuhnya. Sebaliknya, cara mencuci yang betul membantu mengurangkan jumlah kuman dan kotoran yang ada pada permukaannya.
Jangan rendam bayam, salad atau kangkung terlalu lama sebab daun boleh menyerap air dan berpotensi untuk mengambil kotoran atau kuman yang ada dalam air.
Cara lebih baik ialah buang daun luar terlebih dahulu, kemudian bilas di bawah air paip yang mengalir.
Kalau sayur dari kebun atau pasar tani masih penuh dengan tanah, boleh letakkan dalam penapis dan celup beberapa kali ke dalam bekas berisi air sejuk. Selepas itu, bilas sekali lagi menggunakan air yang mengalir.
Buah dan sayur yang berkulit keras seperti epal, timun dan labu boleh digosok perlahan menggunakan tangan yang bersih atau berus khas sambil dibilas di bawah air mengalir.
Sebaiknya, jangan cuci sebaik sahaja balik dari kedai. Basuh hanya apabila hendak makan atau menggunakannya supaya ia tahan lebih lama.
Kalau perlu mencuci lebih awal kerana terlalu kotor, keringkan dengan tuala kertas bersih sebelum disimpan.
Untuk epal pula, tak perlu sibuk cuba buang lapisan lilin pada kulitnya. Lapisan tersebut biasanya selamat dimakan selagi mematuhi keperluan keselamatan makanan.
Strawberi, raspberi, pic masak dan tomato mudah lebam, jadi elakkan menggunakan berus.
Buang bahagian yang lebam atau buah yang sudah rosak, kemudian letakkan dalam penapis dan bilas menggunakan air paip sejuk. Untuk buah yang sangat lembut, lakukan dengan perlahan supaya tidak menghancurkannya.
Kentang, lobak merah, tembikai dan betik tetap perlu dicuci walaupun kulitnya akan dibuang.
Kenapa? Sebab apabila pisau memotong kulit, kotoran dan bakteria pada bahagian luar boleh berpindah ke isi buah atau sayur.
Untuk hasil yang lebih keras, gosok menggunakan berus khas sambil dibilas dengan air mengalir. Selepas digunakan, jangan lupa cuci dan sanitasi berus tersebut.
Herba seperti daun ketumbar dan parsli boleh dibilas menggunakan air paip sejuk sebelum digunakan.
Bagi anggur dan ceri, tak perlu rendam lama-lama. Tanggalkan tangkai, masukkan ke dalam penapis dan bilas di bawah air mengalir sambil menggosoknya perlahan menggunakan tangan yang bersih.
Cendawan juga boleh dibilas di bawah air paip sejuk sebelum dimasak. Gunakan tangan untuk membuang kotoran yang melekat, kemudian keringkan dengan tuala kertas bersih.
Bilas brokoli dan bunga kubis menggunakan air paip yang mengalir. Terbalikkan bahagian kepala supaya air dapat masuk ke celah-celahnya.
Jika hasil dari kebun mempunyai serangga, ia boleh direndam seketika dalam air garam sebelum dibilas dengan bersih.
Tak wajib. Menurut pakar keselamatan makanan, soda bikarbonat, cuka dan pencuci khas hasil segar belum terbukti lebih berkesan daripada mencuci serta menggosok menggunakan air paip sejuk yang mengalir.
Jadi, tak perlu berbelanja lebih. Air paip yang mengalir, tangan bersih dan cara mencuci yang betul sebenarnya sudah memadai untuk mengurangkan risiko.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan