Sudah setahun sejak kes pertama pandemik COVID-19 dilaporkan, ia pastinya memberikan impak yang besar kepada masyarakat di seluruh dunia terutama dari segi mental.
Perintah berkurung beberapa bulan lalu memperlihatkan peningkatan masalah kesihatan mental yang menyelubungi setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak dan remaja.
Walaupun kanak-kanak menghadapi emosi dengan cara yang berlainan namun mereka harus merasa disayangi, dilindungi dan disokong.
Keberadaan ibu bapa bersama anak-anak mungkin boleh menghilangkan kegelisahan dan tekanan apabila sekolah ditutup dan menyebabkan mereka tidak bertemu dengan rakan-rakan.
Menurut UNICEF, ada cara tertentu yang boleh dilakukan ibu bapa bagi menyokong anak-anak mereka.
Pihak Unicef mendapatkan pandangan dari ahli psikologi, Dr. Lisa Damour berkaitan perkara ini dan beliau menyenaraikan bagaimana ibu bapa dapat membantu mewujudkan rasa normal di rumah.
1. Bersikap tenang dan proaktif
Menurut Dr Lisa, ibu bapa harus mengadakan perbincangan yang tenang dan proaktif dengan anak-anak mengenai COVID-19 dan peranan penting yang dapat dimainkan oleh anak-anak dalam menjaga kesihatan diri.
“Biarkan mereka tahu bahawa ada kemungkinan anda atau mereka mula merasakan gejala yang sama dengan selesema dan mereka tidak perlu takut dengan kemungkinan ini.
“Ibu bapa harus mendorong anak-anak untuk memberitahu jika mereka merasa tidak sedap badan atau jika mereka rasa bimbang dengan virus itu,” katanya.

2. Sentiasa ikuti rutin
Ibu bapa disyorkan untuk memastikan anak-anak mempunyai jadual harian yang boleh merangkumi waktu bermain dan mereka juga boleh menggunakan telefon untuk berhubung dengan rakan-rakan.
Namun, ia juga perlu dipantau, jangan biarkan anak selalu dengan gajet pintar. Latih mereka untuk membuat kerja di rumah seperti menyimpan permainan mereka.
Kanak-kanak berumur 10 dan 11 tahun ke atas dinasihatkan untuk terlibat merancang sendiri jadual. Beri gambaran tentang jenis perkara yang harus dimasukkan dan kemudian bekerjasama dengan apa yang mereka buat.
3. Biarkan anak anda merasakan emosi mereka
Dengan penutupan sekolah, aktiviti dan pertandingan yang dibatalkan, mereka pasti merasa kecewa.
Ia merupakan ‘kerugian yang besar’ dalam ruang lingkup kehidupan remaja.
Ibu bapa perlu membiarkan mereka merasai emosi tersebut dan berempati dengan mereka.

4. Periksa apa yang anak-anak dengar dan tahu
Banyak maklumat yang tidak sahih mengenai COVID-19 beredar di media sosial.
Ibu bapa perlu ketahui apa yang mereka sudah tahu dan mula mengorak langkah bercakap perkara yang benar dengan mereka.
Sekiranya mereka mempunyai soalan yang tidak dapat anda jawab, gunakannya sebagai peluang untuk meneroka jawapan bersama.
Gunakan laman web organisasi yang dipercayai seperti UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk sumber maklumat.
5. ‘Cipta gangguan’ untuk seimbangkan emosi anak
Ketika mereka memproses emosi yang sukar, ibu bapa harus memberi perhatian kepada mereka dan ‘membuat’ gangguan untuk elakkan mereka dari terus berfikir mengenai masalah yang difikirkan.
Buat aktiviti bersama mereka, berikan mereka sedikit kelonggaran namun tetap perlu bertegas.
6. Pantau tingkah laku anda sendiri
Ibu bapa harus melakukan apa yang mampu untuk mengatasi kegelisahan dan tidak membebani perasaan takut dengan anak-anak.
Anak-anak bergantung pada ibu bapa mereka untuk memberikan rasa selamat dan dilindungi.
Sumber: UNICEF