Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ini Ucapan Terakhir Hakim Frank Caprio
Pada Rabu semalam, dunia dikejutkan dengan kehilangan ‘permata’ dalam industri kehakiman, Frank Caprio yang meninggal dunia pada usia 88 tahun, akibat kanser.
Pemergiannya meninggalkan kesan kepada orang ramai khususnya dalam bidang kehakiman Amerika Syarikat.
Beliau terkenal dengan sifat belas kasihan meskipun sewaktu mengendalikan perbicaraan, sehingga digelar sebagai “Hakim paling baik di dunia”.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat menitipkan ucapan untuk orang ramai.
“Tahun lalu, saya meminta kamu semua untuk mendoakan saya, dan ternyata memang kamu lakukan kerana saya berjaya melalui satu tempoh yang sangat sukar.
“Malangnya, kesihatan saya kembali merosot. Saya kini kembali di hospital, dan saya sekali lagi memohon kepada kamu semua agar ‘selitkan’ saya dalam doa kamu sekali lagi,” katanya yang dilihat terlantar di katil.
Hakim Amerika Syarikat itu mula meraih populariti melalui rancangan YouTube Caught in Providence yang memaparkan interaksinya dengan orang awam semasa kes yang dibicarakan di Mahkamah Perbandaran Providence
Dalam program berkenaan, beliau mengendalikan pelbagai kes kesalahan ringan dengan pendekatan seperti seorang bapa penyayang, sering memperlihatkan sikap penuh belas kasihan terhadap defendan.
Sepanjang hayatnya, Caprio pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perbandaran di Providence, Rhode Island, dan juga sebagai pengerusi Lembaga Gabenor Rhode Island.
Bagaimanapun, dalam hantaran berbeza di Instagram rasmi miliknya, memaklumkan pemergian mendiang.
“Dikenang kerana sifat belas kasihan, rendah hati dan keyakinannya terhadap kebaikan manusia, Hakim Caprio telah menyentuh kehidupan jutaan orang menerusi kerjayanya di mahkamah dan di luar.
“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai hakim yang dihormati, tetapi juga sebagai suami, bapa, datuk, moyang serta sahabat yang penyayang.
“Legasi beliau akan terus hidup melalui pelbagai amalan kebaikan yang diilhamkannya.
“Demi menghormatinya, semoga kita berusaha menambah sedikit lagi sifat belas kasihan dalam dunia ini, seperti yang dilakukannya setiap hari,” menurut kenyataan itu.
Sumber: NTD, Instagram Frank Caprio