Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Yang Berlaku Kepada Tubuh Manusia Apabila Disambar Kilat

Disambar Kilat
Kredit: ImageFX

Ini Yang Berlaku Kepada Tubuh Manusia Apabila Disambar Kilat

Musim hujan merupakan antara waktu yang digemari ramai kerana suasananya yang sejuk, nyaman dan mendamaikan.

Namun begitu, di sebalik keindahan tersebut, musim hujan juga membawa beberapa risiko yang boleh mengganggu kelancaran aktiviti harian serta menjejaskan keselamatan.

Salah satu fenomena yang sering berlaku ketika hujan lebat ialah kilat.

Kilat dan guruh yang menyusul bukan sahaja menakutkan, malah berbahaya kepada manusia dan persekitaran.

Di seluruh dunia, terdapat kes individu yang dipanah petir setiap tahun. Ada yang mengalami kecederaan serius dan malangnya ada juga yang kehilangan nyawa.

Justeru, SK kali ini ingin menerangkan kepada anda apa yang berlaku kepada tubuh manusia apabila disambar kilat.

Beri kesan serius kepada tubuh manusia

Pakar Perubatan Kecemasan Atrium Health, Christopher Griggs berkata sambaran kilat merupakan kecederaan yang jarang berlaku namun berbahaya dan boleh memberi kesan serius kepada tubuh manusia.

Kecederaan yang dialami boleh berkisar daripada lecur ringan sehinggalah kerosakan organ dalaman, kecederaan otak, atau kematian, bergantung kepada tahap pendedahan terhadap sambaran tersebut.

Menurut beliau, sambaran kilat berupaya menyebabkan serangan jantung yang menghentikan peredaran darah serta menjejaskan otak dan sistem saraf.

Keadaan ini boleh menghalang otak daripada menghantar isyarat penting untuk meneruskan pernafasan.

Selain itu, sambaran kilat berpotensi menyebabkan pendarahan otak atau strok, kecederaan tisu, serta lecuran haba yang teruk di dalam tubuh.

Tahap kecederaan bergantung kepada jarak & laluan

Difahamkan, tisu yang berhampiran tulang biasanya mengalami kerosakan paling serius kerana tulang merupakan bahagian yang paling tahan terhadap kilat.

Kecederaan neurologi dan otot juga boleh memberi kesan jangka panjang.

Dalam sesetengah kes, kecederaan otot boleh membawa kepada rabdomiolisis, iaitu keadaan apabila otot mereput dan membebaskan protein toksik ke dalam aliran darah, sekali gus berpotensi merosakkan buah pinggang.

Walaupun seseorang tidak disambar secara langsung, berada berhampiran lokasi kejadian masih boleh mendatangkan bahaya.

Gelombang bunyi kuat daripada petir boleh menyebabkan gegendang telinga pecah, manakala sambaran tidak langsung juga boleh mengakibatkan lecuran ringan dan gangguan sistem saraf akibat pendedahan sebahagian tenaga kilat.

Dr. Griggs menjelaskan tahap kecederaan bergantung kepada jarak dan laluan tenaga kilat melalui tubuh.

Dalam sesetengah keadaan, individu masih boleh terselamat daripada sambaran langsung bergantung kepada organ yang terjejas dan jumlah tenaga yang dialirkan.

Cari tempat perlindungan yang tertutup seperti bangunan

Menurut Atrium Health, langkah pencegahan terbaik adalah dengan berada di dalam bangunan semasa ribut kilat.

Jika berada di luar, cari tempat perlindungan yang tertutup seperti bangunan atau struktur kukuh, dan elakkan berdiri di bawah pokok atau di kawasan lapang.

Kawasan berair seperti tasik dan sungai juga perlu dielakkan kerana air boleh bertindak sebagai konduktor elektrik.

Kilat juga boleh berlaku sebelum atau selepas hujan bermula, malah mampu menyambar sehingga beberapa batu dari pusat ribut.

Oleh itu, risiko boleh wujud walaupun ribut kelihatan masih jauh.

Menurut Dr. Griggs, individu yang pernah disambar kilat lebih daripada sekali bukan semata-mata mengalami nasib malang, sebaliknya kemungkinan besar terdedah kepada risiko akibat tingkah laku atau berada dalam persekitaran yang berbahaya ketika ribut kilat berlaku.

Sambaran kilat bawa tenaga melebihi 10 juta volt

Walaupun hanya berlangsung antara 0.1 hingga 0.01 saat, sambaran kilat membawa tenaga melebihi 10 juta volt.

Sebagai perbandingan, talian kuasa voltan tinggi lazimnya membawa 100,000 volt atau lebih, manakala soket elektrik di rumah biasanya sekitar 110 volt.

Suhu puncak sambaran kilat pula mencecah 30,000 darjah pada skala Kelvin, kira-kira lima kali lebih panas daripada permukaan matahari.