Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Insiden Cerun Runtuh, Pokok Tumbang Dilapor Berlaku Di Jalan Tun Sardon
Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang petang tadi mengakibatkan kejadian cerun runtuh dan pokok tumbang di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang
Menerusi video yang dikongsikan oleh @danybhry di TikTok, kejadian itu sempat dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, rakaman turut menunjukkan sebuah kenderaan ditimpa pokok yang tumbang, namun pemandunya dilaporkan sempat keluar sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Keadaan jalan juga kelihatan dipenuhi tanah runtuh dan sisa pokok yang menghalang laluan, menyebabkan pergerakan trafik terhenti sepenuhnya di kawasan terbabit.
Bernama melaporkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis memberitahu tiada mangsa mahu pun kenderaan dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang sebelum menggerakkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Paya Terubong ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba bomba mendapati berlaku runtuhan tanah dari cerun bukit ke atas jalan raya dengan keluasan dianggarkan 30 x 20 kaki persegi (kps) di bahagian bawah. Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang dilakukan bagi memastikan keselamatan di lokasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari menerusi hantaran di Facebook mengesahkan kejadian dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang semula perjalanan mereka berikutan laluan berkenaan ditutup sepenuhnya.
“Bagi kenderaan yang masih berada di laluan berkenaan, diminta berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif lain,” katanya.
Zairil berkata pasukan tindak balas negeri turut digerakkan ke lokasi bagi menilai tahap risiko serta memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Sumber: @danybhry via TikTok