KLUANG, 2 Sept (Bernama) – Belum pun pulih sepenuhnya daripada kesedihan kehilangan anak sulung tahun lepas, sebuah keluarga di sini sekali lagi diuji apabila anak bongsu mereka, Abdul Rafee Abdul Halim, 3, maut selepas terjatuh dari Jambatan Victoria di Enggor, Kuala Kangsar, Perak, Isnin lepas.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abd Halim, 42, berkata anak sulungnya, seorang perempuan berusia 16 tahun ketika itu, meninggal dunia tahun lepas selepas terlantar sakit selama kira-kira empat bulan akibat penyakit yang tidak dapat dikenal pasti doktor.
Abd Halim berkata kesedihan akibat kehilangan anak sulungnya masih berbekas, namun keluarganya cuba meneruskan kehidupan sebelum sekali lagi diuji dengan pemergian Abdul Rafee.
“Baru tahun lepas kami kehilangan anak sulung. Dia sakit dan terlantar kira-kira empat bulan sebelum meninggal dunia, dan doktor juga tidak dapat memastikan penyakit yang dihidapinya.
“Kesedihan itu masih berbekas hingga sekarang dan kali ini kami diuji sekali lagi dengan kehilangan anak bongsu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini hari ini.
Abd Halim berkata selepas lebih setahun tidak bercuti, mereka sekeluarga memutuskan untuk ke Perak sempena cuti Hari Kebangsaan bagi meluangkan masa bersama.
Abdul Rafee antara yang paling gembira apabila dimaklumkan mengenai percutian itu, katanya.
“Kenangan kami bersama arwah akan sentiasa kami ingati, terutama keletahnya yang ceria. Dialah yang banyak menghiburkan kami sekeluarga sepanjang tiga tahun ini.
“Antara yang akan sentiasa kami ingati ialah makanan kegemarannya, nasi ayam. Biasanya dia hanya makan nasi dengan kuah sup tetapi beberapa hari sebelum kejadian, arwah meminta ayam sekali,” katanya.
Mengimbas kejadian itu, Abd Halim berkata beliau terlebih dahulu memeriksa keadaan Jambatan Victoria sebelum membawa Abdul Rafee meniti struktur berusia lebih 125 tahun berkenaan.
Abd Halim berkata selepas mendapati keadaan jambatan itu kelihatan selamat, beliau memimpin anaknya untuk melihat sendiri struktur yang menjadi antara tarikan popular di Perak itu.

Bagaimanapun, kejadian berlaku dalam sekelip mata ketika mereka cuba mengelak beberapa individu yang sedang bergambar di atas jambatan berkenaan.
Abdul Rafee kemudian dipercayai terpijak kayu reput sebelum terlepas daripada pegangan bapanya dan terjatuh.
Abd Halim berharap masyarakat tidak terburu-buru menyalahkan ibu bapa kerana mereka telah berusaha sedaya upaya menjaga dan memastikan keselamatan anak-anak.
Beliau turut berharap pihak berwajib melakukan pemantauan dan penyelenggaraan berterusan di kawasan tumpuan ramai serta lokasi pelancongan, khususnya yang melibatkan struktur lama, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Abdul Rafee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru di sini pada 1 pagi semalam.
Isnin lepas, mangsa dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria pada kira-kira 6.30 petang ketika berada di situ bersama bapanya.
Mangsa dipercayai sedang berjalan sambil berpegangan tangan dengan bapanya sebelum terjatuh melalui satu lubang pada jambatan terbabit.
Polis sebelum ini membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilaporkan berkata beberapa individu turut dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

