Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar ditutup serta-merta bagi sesi petang ini susulan keadaan jerebu.
Institusi Pendidikan KPM Di Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar Ditutup Serta-Merta
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di stesen pemantauan CA11A Tasek, Ipoh yang mencatatkan 180 setakat 11 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
Pelaksanaan PdPR itu perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
Selain itu, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
JPN Perak memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU bersama institusi pendidikan yang terjejas bagi membolehkan tindakan susulan diambil mengikut garis panduan KPM.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga diseru supaya sentiasa peka terhadap makluman rasmi serta memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan anak-anak sepanjang situasi jerebu.
JPN Perak turut menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan jabatan itu.
JPN Perak juga menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung aspek keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

