Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 201 diberi autonomi untuk menentukan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bersesuaian.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kesihatan mahasiswa, selain memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan berdasarkan keadaan kualiti udara semasa di lokaliti masing-masing.
“Pengurusan IPT di kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 201 diberi autonomi menentukan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko kesihatan dan memastikan pembelajaran mahasiswa diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, KPT turut mengarahkan semua IPT di bawah seliaannya supaya memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing susulan perkembangan kualiti udara yang sedang dipantau rapat kementerian.
KPT berkata, aktiviti luar di IPT juga perlu dinilai dan disesuaikan berdasarkan bacaan IPU semasa bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan warga institusi.
Pada masa sama, KPT mengingatkan warga IPT supaya merujuk maklumat rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mematuhi panduan pengurusan yang ditetapkan oleh IPT masing-masing.
“KPT akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan pendekatan pengoperasian IPT demi kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya,” katanya.

