Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ismael Koné Kongsi Luahan Hati Selepas Tinggalkan Padang Piala Dunia
Dalam dunia sukan, kecederaan adalah antara perkara paling ditakuti setiap atlet. Lebih menyedihkan apabila ia berlaku ketika berada di kemuncak prestasi dan peluang beraksi di kejohanan terbesar dunia.
Itulah situasi yang terpaksa dihadapi pemain tengah Kanada, Ismael Koné, apabila kecederaan serius yang dialaminya memaksanya menarik diri daripada Piala Dunia 2026.
Namun, di sebalik berita yang pastinya meruntun hati itu, pemain berusia 24 tahun tersebut memilih untuk melihatnya dari sudut yang berbeza.
Menerusi satu hantaran di Instagram, pemain tengah kelab Sassuolo itu berkongsi luahan hati yang menyentuh perasaan ramai.
Menurutnya, sepanjang hidupnya Allah SWT tidak pernah sekalipun mengecewakannya. Justeru, beliau percaya tiada sebab untuk meragui setiap perancangan yang telah ditentukan.
"ALLAH tidak pernah sekali pun mengecewakan saya. Sepanjang hidup saya, tidak pernah walau sekali.
"Jadi mengapa saya perlu meragui-Nya sekarang? Sedangkan saya tahu, Dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala-galanya, bahkan sebelum ia berlaku.
"Dia mempunyai perancangan dan ketentuan buat setiap daripada kita. Ujian yang saya hadapi ini adalah satu ujian terhadap keimanan dan juga jati diri saya.
"Sejujurnya, saya bersedia menghadapinya kerana saya percaya Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Malah, diuji adalah antara hadiah terindah daripada Allah," tulisnya menerusi Instagram @hollywood.ik.
Dalam masa sama, Ismael turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kesihatannya.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap individu yang menghubungi saya dan mendoakan saya. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana tidak semua orang diberikan nikmat sokongan seperti ini," tambahnya.
Walaupun tidak lagi dapat membantu pasukan di atas padang, Ismael tetap mahu memainkan peranannya.
Dengan nada berseloroh, beliau berkata dirinya kini bertukar menjadi "penolong jurulatih" bagi memberikan sokongan kepada rakan-rakan sepasukan dari tepi padang.
Beliau turut meluahkan rasa sayang terhadap skuad Kanada dan menyifatkan hubungan persaudaraan yang terjalin dalam pasukan itu sangat bermakna buat dirinya.
"Insya-Allah, saya akan kembali tidak lama lagi dan kita akan terus mencipta lebih banyak kenangan bersama," katanya.
Untuk info, bintang Kanada itu terpaksa diusung keluar selepas terlibat dalam pelanggaran keras bersama pemain Qatar, Assim Madibo, pada minit ke-50 ketika pasukannya melakar kemenangan 6-0 menewaskan lawan di Vancouver.