Usaha gigih Hani Othman, isteri kepada anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang masih hilang dalam tragedi banjir di Nepal, membuahkan hasil apabila berjaya mengumpulkan barangan keperluan untuk mangsa bencana.
Menerusi perkongsian di Instagram hari ini, Hani berkata bantuan berkenaan kini sudah dikumpulkan sehingga memenuhi sebuah lori.
Bagaimanapun, beliau masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Nepal sebelum dibenarkan memasuki kawasan bencana untuk mengagihkan barangan berkenaan kepada mangsa yang memerlukan.

“Terima kasih (kepada) yang turut beri sumbangan. Dapat satu lori. Sekarang hanya tunggu kelulusan dari pihak kerajaan Nepal untuk lepaskan saya ke tempat bencana untuk agih bantuan,” katanya.
Terdahulu, Hani turut berkongsi beberapa hantaran memaparkan dirinya membeli barangan keperluan untuk mangsa banjir, sambil berharap usaha tersebut dapat membantu mangsa selain mempermudah urusannya mencari suami.
Sebelum ini, Hani menyuarakan hasrat untuk menyertai pasukan sukarelawan ke kawasan kem yang menempatkan mangsa terselamat bagi mencari suaminya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, atau lebih dikenali sebagai Loe.
Fakhrul merupakan antara individu yang masih gagal dikesan susulan bencana banjir di Rasuwa, Nepal.
Menurut Hani, penyertaannya dalam pasukan sukarelawan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat, termasuk menyediakan barangan sumbangan terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke tapak kem.

Bagi menjayakan misi tersebut, Hani menyasarkan penyediaan 200 kit penyelamat yang mengandungi pelbagai keperluan asas.
Antara barangan yang diperlukan termasuk tuala wanita, berus gigi, pakaian dalam, selipar, mi segera, makanan sedia dimakan serta bank kuasa solar.
Usaha Hani itu turut mendapat sokongan orang ramai yang tampil menyumbang bagi membantu mangsa bencana di Nepal.

