Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Dua Amah Indonesia Disyaki Didera Majikan, Ini Penjelasan KJRI

Dua amah
Kredit: Konsultan Jenderal Republik Indonesia via Facebook

Isu Dua Amah Indonesia Disyaki Didera Majikan, Ini Penjelasan KJRI

Konsultan Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru tampil memberikan penjelasan susulan laporan dakwaan penderaan melibatkan dua warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di Johor, dengan kedua-dua mangsa kini ditempatkan di bawah perlindungan sementara pihak konsultan.

KJRI Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dua wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai YY dan SH telah diselamatkan dan ditempatkan di Tempat Tinggal Sementara (TTS) KJRI Johor Bahru bagi mendapatkan perlindungan serta pendampingan lanjut.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan mula dilaporkan pada 13 Jun lalu selepas perkhidmatan KSATRIA KJRI Johor Bahru menerima aduan daripada YY yang mendakwa dirinya serta dua lagi warga Indonesia, iaitu YA dan SH, menjadi mangsa keganasan fizikal oleh majikan mereka di Johor.

"Berdasarkan keterangan yang diterima, ketiga-tiga wanita tersebut didakwa sering mengalami layanan kasar sepanjang tempoh bekerja.

"Salah satu insiden pemukulan dilaporkan berlaku antara penghujung tahun 2025 hingga Januari 2026, sebelum mereka ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee, Johor.

"Kerana masih ingin terus bekerja di Malaysia, ketiga-tiga warga Indonesia itu kemudian berpecah. YA ke Kuala Lumpur, manakala YY dan SH kekal di Johor.

"KJRI memaklumkan bahawa ketiga-tiga wanita itu bekerja di Malaysia secara tidak sah dan tidak memiliki permit kerja yang sah.

"Pasport mereka juga didakwa masih berada dalam simpanan majikan, menyebabkan mereka berasa takut untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, YY akhirnya tampil membuat aduan kepada perkhidmatan KSATRIA KJRI Johor Bahru selepas merasakan keselamatannya terancam.

"Susulan laporan itu, KJRI Johor Bahru segera bekerjasama dengan pihak polis tempatan dan membuat laporan rasmi," maklum kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, pada 13 Jun lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah menahan empat individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Selain menempatkan YY dan SH di pusat perlindungan sementara, KJRI Johor Bahru turut bekerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur untuk membawa YA, yang kini berada di ibu negara, bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan yang sama.

KJRI turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membantu proses laporan polis serta menyediakan bantuan guaman demi memastikan hak mangsa terpelihara sepanjang proses undang-undang.

Dalam pada itu, KJRI Johor Bahru mengingatkan rakyat Indonesia yang ingin bekerja di luar negara supaya menggunakan saluran pekerjaan yang sah dan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan perlindungan undang-undang serta hak pekerjaan yang lebih terjamin.