Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan membabitkan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN berkata, siasatan itu dijalankan susulan kenyataan Kerajaan Negeri Johor serta kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki negara ini.
Menurut KDN, kerajaan memandang serius sebarang isu yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
“Sehubungan itu, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh.
“Siasatan itu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, tujuan kemasukan ke Malaysia serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KDN berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut kementerian itu, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi sekiranya hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau apa-apa kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.
Ujarnya, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang sehingga boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
Dalam masa sama, KDN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.