Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Negeri Perlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan ESR Dragway Perlis, sebuah litar khas yang disasarkan menjadi platform selamat dan profesional kepada golongan belia serta peminat sukan permotoran.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pembangunan projek itu merupakan satu inisiatif strategik yang bukan sahaja menyediakan kemudahan khas untuk aktiviti sukan permotoran, malah diharap dapat membantu membendung gejala lumba haram.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Menteri Besar Incorporation (MBI) Perlis dan ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd., dengan MBI diwakili beliau manakala syarikat itu diwakili Adib Affandi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Adib ESR.
“Pembangunan ESR Dragway Perlis merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan menyediakan kemudahan khusus kepada golongan belia serta peminat sukan permotoran untuk menyalurkan minat mereka secara sah, selamat dan profesional.
“Inisiatif ini juga diharap dapat membantu membendung gejala lumba haram dengan menyediakan platform yang terkawal serta memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, projek tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis menerusi anak syarikatnya, MBI Perlis.
Ujarnya, pelaksanaan projek itu akan direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama syarikat bumiputera tempatan, ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd., sebagai usaha memperkukuh pembangunan industri permotoran di negeri berkenaan.
Tambah beliau, projek itu juga dijangka membuka ruang melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi serta pelancongan sukan di Perlis.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil daripada ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd.