Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Isu Wanita Mualaf: Menteri Agama Arah MAIWP Jejak, Segera Hulur Bantuan
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), khususnya Unit Jejak Asnaf, telah diarah menjejaki seorang wanita mualaf yang tular di media sosial baru-baru ini selepas meluahkan hasrat keluar daripada agama Islam kerana didakwa tidak menerima bantuan dan dianiaya suami.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ini bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera.
“Saya telah menonton video tular tersebut dan telah menghubungi pihak MAIWP agar mencari wanita itu untuk kita berikan bantuan.
“Pada masa sama, saya rasa ada keperluan untuk kita berjumpa dengannya bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana banyak perkara yang masih tidak jelas,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama badan bukan kerajaan dan rakan strategik MAIWP 2025 di sini hari ini.
Beliau turut menggesa wanita terbabit atau mana-mana pihak yang mengenali individu itu untuk tampil menghubungi MAIWP bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dan bantuan sewajarnya diberikan.
Mengenai dakwaan wanita itu dipukul dan ditinggalkan suami dalam keadaan mengandung, Mohd Na’im berkata sekiranya perkara itu benar, mangsa berhak membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang syariah sedia ada.
Beliau berkata setakat Mei tahun ini, MAIWP telah mendaftarkan 1,098 mualaf di Wilayah Persekutuan berbanding 968 orang pada 2024 dan menyalurkan bantuan berjumlah RM9.3 juta.
Mohd Na’im turut memberi jaminan bahawa semua agensi di bawah pentadbirannya akan membantu setiap individu termasuk mualaf yang memerlukan sokongan, perlindungan dan bimbingan.
“Saya tidak mahu hanya kerana satu kes terlepas pandang, agensi agama dipersalah dan dipandang serong. Kita akan terus memperbaiki dan memastikan mereka yang memerlukan akan dibantu,” katanya.
Sumber: BERNAMA