Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jabatan Pertanian Perkenal Perangkap Serangga Solar, Tingkat Kualiti Durian

Azizah Najib
perangkap serangga solar
Kredit: Jabatan Pertanian Malaysia

Jabatan Pertanian Perkenal Perangkap Serangga Solar, Tingkat Kualiti Durian

BALIK PULAU – Pejabat Pertanian Daerah Barat Daya/Timur Laut Pulau Pinang memperkenalkan satu inovasi teknologi mesra alam bagi membantu pengusaha durian mengurangkan penggunaan racun kimia.

Menerusi muat naik di laman Facebook Jabatan Pertanian Malaysia, inovasi yang dinamakan Perangkap Serangga Lampu Solar Mudah Alih itu dibangunkan khas untuk menangani serangan ulat pengorek buah durian (Mudaria magniplaga).

Serangga perosak ini dikenal pasti mampu menyebabkan kemerosotan hasil tuaian durian sehingga 70 peratus setiap musim.

“Serangga ini menyerang buah durian bermusim dan mengakibatkan kerosakan serius, sekali gus menurunkan gred dan nilai jualan buah di pasaran,” ujar jabatan berkenaan.

Perangkap tersebut menggunakan cahaya ultraviolet (UV) sebagai pemikat serangga yang dipasang pada unit lampu solar mudah alih. Tenaga solar digunakan bagi menjadikan alat ini lebih lestari dan sesuai digunakan di kawasan mencabar seperti dusun berbukit.

Reka bentuknya yang ringan dan mudah dialih turut membolehkan penggunaan lebih meluas walaupun tanpa akses elektrik. Selain itu, perangkap ini juga memberikan pencahayaan tambahan di kawasan dusun dan menambah aspek keselamatan semasa operasi malam.

Penolong Pegawai Pertanian, Mat Suaid Sapiyin, berkata ilham perangkap ini tercetus selepas menerima banyak aduan daripada pengusaha durian tempatan.

“Kami mendapati ramai pengusaha terpaksa bergantung kepada racun kimia yang mahal, berbahaya dan kurang berkesan di kawasan berbukit. Maka kami membangunkan perangkap ini sebagai solusi yang lebih praktikal, mesra alam dan menjimatkan,” katanya.

Perangkap ini dibangunkan bersama Fahmiruddin Zainol Abidin dan Mohd Ridwan Jamil.

Pada tahun 2022, ujian keberkesanan dijalankan di kebun milik Joseph Phong di Bukit Anjung Indah, Balik Pulau. Kebun seluas tiga ekar itu sebelum ini mengalami kerugian besar akibat serangan serangga walaupun menggunakan racun kimia.

“Sebelum ini, saya terpaksa berbelanja besar membeli racun serangga tetapi hasilnya tetap rendah. Setelah mencuba perangkap solar ini, saya dapati ia sangat berkesan dan tidak memerlukan racun langsung. Saya dapat menjimatkan kos dan hasil pun bertambah,” kata pemilik kebun berkenaan.

Setelah mencuba perangkap solar, beliau mendapati serangan serangga menurun tanpa perlu guna racun kimia. Beliau juga berjaya menjimatkan kos sehingga 85 peratus dalam tempoh setahun berbanding penggunaan racun sebelum ini.

Hasil tuaian turut meningkat kepada purata 8,850 kilogram sehektar, berbanding 4,500 kilogram tanpa kawalan. Jika dibandingkan dengan kawalan kimia, hasilnya hanya sekitar 7,400 kilogram sehektar sahaja.

Selain daripada itu, buah durian gred A juga meningkat kepada 4,700 kilogram berbanding 2,080 kilogram tanpa sebarang kawalan. Keberkesanan ini turut menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan dan kesihatan pekerja dusun berikutan penggunaan perangkap yang tidak memerlukan sebarang bahan kimia berbahaya sehingga menjejaskan kesihatan.

“Sebagai kesimpulan, penggunaan Perangkap Serangga Lampu Solar Mudah Alih bukan sahaja berupaya meningkatkan hasil dan kualiti buah durian malah membantu pengusaha menjimatkan kos kawalan serangga serta memastikan keselamatan makanan yang lebih terjamin,” jelas jabatan itu lagi.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Pertanian menyeru pengusaha durian agar memanfaatkan teknologi ini demi kelestarian pertanian negara.

Inovasi tempatan ini diyakini mampu memajukan industri durian dan menyokong aspirasi negara dalam keterjaminan makanan.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia

BACA: Hanya 36 Peratus Rakyat Malaysia Punya Simpanan Mencukupi Selepas Bersara – Amir Hamzah

BACA: Peluru Berpandu Hipersonik Sukar Dipintas, Ini Sebabnya