Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seiring dengan trend pengunjung global yang semakin mengutamakan perjalanan yang lebih santai dan pengalaman yang bermakna, Guilin muncul sebagai salah satu destinasi paling menonjol di China untuk menikmati keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman untuk mendalami budaya tempatan.
Tempahan penerbangan antarabangsa ke Guilin meningkat sebanyak 75 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, sekali gus menjadikan Guilin antara bandar yang mencatatkan pertumbuhan terpantas di China bagi pengunjung antarabangsa. Dalam kalangan rakyat Malaysia, minat terhadap Guilin berkembang dengan lebih pesat. Bukti ini ditunjukkan melalui data daripada Trip.com yang memaparkan bahawa semakin ramai pengunjung memasukkan Guilin dalam rancangan perjalanan mereka pada tahun ini:
Tempahan penerbangan ke Guilin meningkat 98 peratus tahun ke tahun, melebihi purata global. Malaysia berada di kedudukan ke-4 dalam pasaran sumber antarabangsa terbesar Guilin selepas Korea Selatan, Jepun dan Thailand.
Minat pengunjung Muslim untuk melawat Guilin turut meningkat dengan carian hotel berstatus Halal atau mesra Muslim oleh pengguna Malaysia melonjak 40 peratus tahun ke tahun.
Rakyat Malaysia semakin mengutamakan aspek kualiti penginapan, dengan lebih 60 peratus tempahan hotel terdiri daripada hotel bertaraf empat bintang dan ke atas.
Guilin lazimnya menjadi salah satu destinasi dalam jadual perjalanan yang merangkumi beberapa buah bandar. Rakyat Malaysia menghabiskan purata lima hari bagi keseluruhan perjalanan mereka di sini.
Trip.com Group turut mengetengahkan daya tarikan bandar ini yang semakin meningkat menerusi acara “Guilin Night” yang berlangsung pada minggu ini yang menghimpunkan lebih 3,500 tetamu antarabangsa dari 78 negara dan wilayah. Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelakon legenda serta Duta Global Pelancongan China untuk Trip.com Group, Jackie Chan, yang memainkan peranan dalam memperkenalkan destinasi ini kepada pengunjung antarabangsa.

Sejak dahulu lagi, Guilin memikat hati pengunjung dengan keindahan gunung batu kapur yang diselubungi kabus, sungai yang berliku dan panorama yang kekal mempesona sepanjang zaman. Namun, tarikan Guilin tidak terhenti pada pemandangannya yang indah bak lukisan. Wilayah ini juga kaya dengan kepelbagaian budaya dengan tradisi masyarakat etnik seperti Zhuang, Yao, Miao dan Dong terus menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, membentuk identiti tempatan melalui makanan, kraf tangan dan adat resam.
“Guilin mengingatkan saya bahawa perjalanan bukan sekadar mengunjungi tempat-tempat terkenal, saya juga dapat memahami dan berhubung dengan budaya sesebuah destinasi di sini,” kata Jackie Chan. “Gunung-ganang, sungai, suasananya membuatkan anda terasa seolah-olah sedang melangkah masuk ke dalam sebuah lukisan tradisional China. Namun, perkara yang benar-benar menjadikan Guilin istimewa adalah kemampuannya memperlahankan rentak kehidupan dengan cara yang begitu menyenangkan. Di bandar besar seperti Beijing dan Shanghai, kehidupan bergerak dengan sangat pantas. Guilin pula memperlihatkan sisi lain China yang memberikan ruang kepada kita untuk menikmati setiap detik dengan lebih bermakna.”
Bagi Jackie Chan, pengalaman paling utama dalam perjalanan ke Guilin bermula dengan lawatan ke Sungai Li yang legenda.

“Sungai Li ialah jiwa Guilin,” katanya. “Anda boleh duduk dengan tenang di atas bot sambil menikmati pemandangan di sekeliling. Setiap minit, lanskapnya seolah-olah berubah.”
Pelayaran di sepanjang sungai yang terkenal antara Guilin dan Yangshuo membawa pengunjung merentasi deretan gunung batu kapur yang dramatik, perkampungan nelayan serta pemandangan ikonik “Pantulan Kain Kuning” pada laluan sungai berhampiran bandar lama Xingping. Lokasi ini turut diabadikan pada wang kertas 20 RMB.
Satu lagi destinasi yang berada dalam senarai tiga teratas Jackie Chan di Guilin adalah Teres Padi Longji. Tarikan ini turut tersenarai di kedudukan ke-3 dalam kategori tarikan Guilin di Trip.Best, iaitu senarai penarafan berasaskan AI oleh Trip.com Group yang membantu pengunjung mengenal pasti pengalaman terbaik sesuatu destinasi. Teres berusia lebih 600 tahun ini berubah mengikut musim, daripada sawah yang memantulkan cahaya seperti cermin pada musim bunga, sehinggalah hamparan kilauan emas ketika musim menuai.

“Apabila anda berdiri di sana dan memandang ke seluruh kawasan sawah, anda akan sedar betapa besarnya sejarah dan usaha manusia yang membentuk landskap tersebut,” ujar Jackie.
Pengunjung juga boleh meneroka perkampungan etnik minoriti di kawasan berhampiran, termasuk komuniti yang terkenal dengan kemahiran kraftangan tradisional serta persembahan budaya. Perjalanan ini selari dengan trend pengunjung masa kini yang lebih memilih untuk merasai pengalaman budaya tempatan, percutian yang lebih santai dan hubungan yang lebih bermakna dengan destinasi yang dikunjungi.
Bukan itu sahaja, bagi mereka yang ingin menikmati keindahan semula jadi Guilin selain sungai dan gunung, Gua Reed Flute menawarkan pengalaman bawah tanah yang unik.
Dikenali sebagai “Istana Seni Semula Jadi,” Gua Reed Flute menampilkan dunia bawah tanah yang menakjubkan dengan gabungan warna dan formasi geologi yang luar biasa.

“Semasa pertama kali saya masuk ke Gua Reed Flute, saya rasa umpama berada di planet lain,” kata Jackie. “Warna, formasi batuan, pantulan cahaya, semuanya sungguh luar biasa. Gua ini antara destinasi dengan keindahan tidak mampu dirakamkan sepenuhnya melalui lensa kamera. Pengalaman sebenar berada sendiri di gua tersebut jauh lebih mengagumkan.”
Di dalam gua ini, pengunjung boleh menyaksikan stalaktit, stalagmit dan ruangan bawah tanah yang terbentuk selama jutaan tahun dan semuanya diterangi bagi menyerlahkan keindahan semula jadinya.
Selain itu juga, wilayah ini terus mengembangkan tawaran pelancongan baharu yang menggabungkan elemen pengembaraan dengan keindahan alam semula jadi Guilin.
Bagi pencinta aktiviti mencabar, Puncak Ruyi yang berada di kedudukan ke-8 dalam senarai Guilin di Trip.Best merupakan pilihan utama. Taman “aerial” moden ini menawarkan pengalaman menaiki kereta kabel, melintasi jambatan gantung dan berjalan di laluan skywalk yang panoramik, sambil menikmati pemandangan dramatik landskap batu kapur di Yangshuo. Destinasi ini merupakan gabungan sempurna antara keindahan alam semula jadi dengan pengalaman penuh adrenalin.

Bagi pengunjung yang ingin menggabungkan sejarah dan keindahan alam semula jadi, tapak bersejarah Solitary Beauty Peak dan kawasan Istana Putera Jingjiang di tengah bandar Guilin merupakan destinasi yang wajib dikunjungi.
Solitary Beauty Peak menawarkan pemandangan panoramik bandar Guilin dan kekal sebagai salah satu tarikan paling popular di bandar ini. Sementara itu, Istana Putera Jingjiang pula merupakan bekas kediaman diraja zaman Dinasti Ming. Lawatan di sini membuatkan pengunjung dapat merasai pengalaman seolah-olah kembali ke masa silam sambil meneroka bangunan istana yang pernah didiami oleh anak saudara maharaja pengasas Dinasti Ming.

Pada waktu malam, persembahan Impression Liu Sanjie menghidupkan suasana dengan penuh magis. Salah satu auditorium semula jadi terbesar di dunia ini menampilkan 600 bakat seni dalam pakaian tradisional etnik minoriti Zhuang, Miao dan Yao, yang menghidupkan kisah legenda Liu Sanjie iaitu tokoh terkenal dalam kisah rakyat tempatan. Persembahan yang menakjubkan ini berlatarbelakangkan Sungai Li, dengan landskap batu kapur sebagai pentas semula jadi.
“Latar gunung-ganang menjadi sebahagian daripada persembahan,” kata Jackie. “Anda bukan sekadar menonton, tetapi seolah-olah berada di dalamnya. Persembahan ini sangat emosional dan sememangnya mencerminkan budaya China menerusi gabungan muzik, tarian, pencahayaan dan kisah rakyat tempatan yang begitu indah.”
Diarahkan oleh pembuat filem tersohor Zhang Yimou, persembahan luar bagunan berskala besar ini menjadikan Sungai Li sebagai pentas utama yang menampilkan ratusan bakat seni tempatan di bawah puncak gunung yang diterangi cahaya.

Menurut Trip.com Group, acara Guilin ini mencerminkan trend perjalanan yang lebih luas di seluruh Asia. Pengunjung kini lebih cenderung memilih jadual perjalanan yang lebih santai, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang lebih mendalam, berbanding perjalanan tradisional yang menumpukan pada senarai destinasi semata-mata.
Sebagai contoh, semasa acara “Guilin Night” yang turut dikenali sebagai Trip.com Group Envision Gala Dinner, malam tersebut meraikan kekayaan warisan budaya tradisional China melalui pelbagai bengkel interaktif, permainan tradisional dan persembahan kebudayaan.
Para hadirin berpeluang mencuba sukan purba China seperti Cuju, permainan bola sepak pada zaman kuno China, serta Chuiwan, permainan menggunakan kayu pemukul dan bola yang pernah dimainkan di istana diraja. Selain itu, mereka juga berpeluang membuat tanglung tradisional, mempelajari kraf tenunan brokad etnik Zhuang serta menyertai aktiviti teka-teki tanglung di bawah limpahan cahaya yang mempesonakan.

Acara malam tersebut diakhiri dengan pertunjukan dron berskala besar yang menerangi latar langit Guilin, satu persembahan moden yang kontras namun harmoni dengan landskap klasik China dengan keindahan abadi.
Guilin kini bukan sahaja menjadi destinasi untuk pengunjung datang untuk percutian, Guilin juga merupakan sebuah destinasi untuk memperlahankan rentak kehidupan dan berhubung dengan alam semula jadi. Pelancong boleh memilih untuk berjalan di sepanjang tebing sungai, meneroka cita rasa tempatan atau menikmati keindahan landskap yang memukau.
Bagi Jackie Chan, keseimbangan inilah yang menggambarkan Guilin. “Pengunjung bukan sahaja akan mengingati gunung dan sungainya, malah mereka juga akan mengingati cara sesuatu tempat dan budayanya meninggalkan kesan kepada mereka,” katanya. Mengulas lebih menyeluruh mengenai perjalanan di China, Jackie berpendapat bahawa ramai pengunjung antarabangsa hanya melihat sisi luaran negara itu.
“Nasihat saya mudah, jangan tergesa-gesa. Ramai pengunjung kali pertama hanya memberikan tumpuan pada bandar-bandar besar atau destinasi popular yang mereka lihat di media sosial. Namun China ialah negara yang sangat besar dan penuh kepelbagaian dengan banyak sisi berbeza yang sukar diterokai dalam satu perjalanan sahaja. Tanamkan rasa ingin tahu, buang tanggapan awal dan datang dengan fikiran yang terbuka.”