Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jangan Dongak Bila Hidung Berdarah, Ini Risiko Yang Anda Tak Tahu

hidung
Kredit: ImageFX

Jangan Dongak Bila Hidung Berdarah, Ini Risiko Yang Anda Tak Tahu

Apabila hidung berdarah, ramai yang terus panik dan secara automatik akan mendongakkan kepala ke belakang kerana menyangka itu cara paling cepat untuk menghentikan aliran darah.

Malah, amalan ini sudah dianggap normal dan sering diajar sejak kecil lagi.

Namun hakikatnya, cara tersebut sebenarnya tidak tepat dan boleh mendatangkan risiko tertentu tanpa kita sedari.

Hari ini, SK ingin kongsikan penjelasan daripada portal McGill Office for Science and Society dan Cleveland Clinic tentang mengapa ia salah.

Risiko mendongak ketika hidung berdarah

Menurut portal McGill Office for Science and Society, ramai orang masih beranggapan bahawa mendongakkan kepala ke belakang adalah cara yang betul, tetapi sebenarnya itu salah.

Berdasarkan panduan semasa seperti yang disarankan oleh Red Cross dan pakar perubatan, cara yang betul adalah dengan duduk dalam keadaan tegak, tundukkan kepala sedikit ke depan, picit bahagian batang hidung dan tahan selama 10 hingga 15 minit.

Kredit: ImageFX

Tujuannya adalah untuk membantu darah membeku di tempat salur darah yang pecah.

Bayangkan seperti paip air bocor yang ditekan sementara waktu sehingga sempat dibaiki.

Dengan memicit hidung, aliran darah diperlahankan dan pembekuan dapat berlaku dengan lebih cepat.

Jika kepala didongakkan ke belakang, ia akan menyebabkan darah akan mengalir ke tekak.

Perkara ini bukan sahaja mengganggu proses pembekuan, malah boleh menyebabkan risiko tercekik dan rasa tidak selesa apabila darah masuk ke dalam perut.

Cara menghentikan pendarahan hidung di rumah

Portal Cleveland Clinic pula menjelaskan yang apabila hidung berdarah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah kekal tenang dan cuba bernafas melalui mulut.

Anda disarankan untuk duduk dalam keadaan tegak sambil menundukkan kepala sedikit ke depan, bukan mendongak ke belakang.

Selepas itu, gunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk memicit bahagian lembut hidung, iaitu kawasan tepat di atas lubang hidung.

Kredit: ImageFX

Tahan tekanan tersebut selama beberapa minit sehingga pendarahan berhenti, sambil menggunakan tisu atau kain lembap untuk menahan aliran darah.

Dalam kebanyakan kes, langkah rawatan di rumah seperti ini sudah mencukupi untuk menghentikan pendarahan.

Namun begitu, anda perlu mendapatkan rawatan di hospital sekiranya pendarahan tidak berhenti walaupun selepas 15 hingga 20 minit hidung dipicit.

Selain itu, jika jumlah darah yang keluar agak banyak, atau anda sedang mengambil ubat pencair darah seperti Aspirin atau Warfarin dan pendarahan masih berterusan, keadaan ini juga memerlukan perhatian perubatan segera.

Anda juga perlu mendapatkan bantuan jika mengalami kesukaran bernafas, tertelan darah sehingga menyebabkan muntah berterusan, atau jika pendarahan berlaku selepas kecederaan serius seperti hentakan pada kepala, terjatuh atau kemalangan.