Jangan Main Tukar Gear Suka Hati – Rupanya Ini Punca Gearbox Cepat Rosak
Kereta automatik memang sinonim dengan keselesaan. Tak perlu risau tentang clutch, tak perlu tukar gear setiap kali berhenti dan yang paling penting ialah pemanduan terasa lebih lancar terutama dalam kesesakan jalan raya.
Tak hairanlah ramai pemandu terutamanya pemandu wanita dan mereka yang sering berulang-alik ke bandar lebih gemar memilih kereta automatik berbanding manual.
Namun di sebalik kemudahan itu, ada satu realiti yang ramai terlepas pandang. Ramai anggap gearbox automatik ni kerja mudah.
Alih ke gear ke D dan terus jalan. Tapi di sebalik kemudahan itu, ada sistem kompleks yang bekerja tanpa henti bagi memastikan setiap pertukaran gear berjalan lancar.
Ia adalah komponen yang sangat sensitif dan mahal untuk diganti. Sedikit kesilapan ketika menukar gear boleh menyebabkan kerosakan besar dan kos membaikinya boleh mencecah ribuan ringgit.
Tanpa disedari ramai pemandu mengulangi tabiat kecil yang dianggap remeh namun dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menjadi punca utama kerosakan gearbox.
Jadi sebelum terlambat, jom kita semak lima kesilapan paling biasa pemandu gear auto yang membuatkan gearbox cepat rosak dan cara sebenar untuk mengelakkannya.
1. Masuk gear P ketika berhenti di lampu isyarat
Inilah kesilapan yang paling kerap dilakukan. Terutamanya pemandu yang mahu merehatkan kaki sekejap ketika lampu merah. Ramai yang sangka menukar gear ke P (Parking) semasa berhenti sekejap adalah tindakan yang bijak.
Padahal ia antara punca utama gearbox cepat rosak.
Apabila gear diletakkan pada posisi P, sistem transmisi akan mengunci gear sepenuhnya. Jika enjin masih hidup atau kereta belum benar-benar berhenti, tekanan kuat akan berlaku pada komponen dalam gearbox.
Lama-kelamaan, tekanan ini boleh menyebabkan gear jem atau tidak dapat berfungsi dengan lancar.
Lebih bahaya apabila lampu hijau menyala dan pemandu yang terkejut akan menekan pedal minyak sebelum sempat tukar ke gear D. Hentakan mendadak inilah yang sering menyebabkan gearbox cepat haus atau terus rosak.
Cara yang betul ialah semasa berhenti di lampu isyarat, tekan brek kaki, tukar gear ke N (Neutral) tanpa menekan tombol gear kemudian tarik brek tangan. Lepaskan brek kaki dan tunggu lampu bertukar hijau.
Bila hendak bergerak semula, tekan brek kaki, tukar gear ke D (Drive), lepaskan brek tangan dan baru tekan minyak. Langkah mudah ini nampak remeh tetapi sangat membantu untuk memanjangkan jangka hayat gearbox anda.
2. Menekan tombol gear tanpa perlu
Selain itu, kereta automatik moden biasanya dilengkapi tombol atau butang kecil pada tuil gear. Ia bukan sekadar hiasan tetapi berfungsi sebagai sistem keselamatan untuk mengelakkan gear tertolak terlalu jauh.
Namun begitu, ada juga pemandu yang suka menekan tombol gear setiap kali mahu menukar kedudukan gear walaupun tidak perlu.
Sebenarnya, tombol gear hanya perlu ditekan dalam situasi tertentu sahaja iaitu:
Ketika menukar dari P → R, R → P, R → N, N → R, D → L / D2 atau L / D2 → D.
Dalam keadaan lain seperti N → D, D → N, D → D3 atau D3 → D, anda tidak perlu menekan tombol gear. Jika anda tetap menekannya, risiko untuk tertolak lebih adalah tinggi.
Sebagai contoh, ketika kereta masih bergerak ke hadapan dan anda ingin tukar gear dari D ke N, menekan tombol gear boleh menyebabkan gear tertolak terus ke R (Reverse) tanpa disedari.
Jika ini berlaku, gearbox akan menerima hentakan kuat dan boleh rosak serta-merta.
Ingat, tombol gear direka untuk mengelakkan kesilapan dan bukan untuk digunakan setiap kali menukar gear. Gunakan hanya bila perlu.
3. Tak faham fungsi setiap gear
Ramai yang memandu bertahun-tahun dengan gear automatik tetapi masih tak tahu maksud setiap huruf pada tuil gear. Hakikatnya, memahami fungsi setiap gear bukan sekadar teori.
Ianya akan membantu anda untuk memandu dengan lebih efisien dan melindungi gearbox daripada tekanan berlebihan.
Berikut fungsi utama setiap gear yang wajib diketahui:
P (Parking): Digunakan apabila anda ingin mematikan enjin dan berhenti sepenuhnya. Gear akan dikunci supaya kereta tidak bergerak walaupun tanpa brek tangan.
R (Reverse): Untuk mengundur. Jangan sesekali tukar ke gear R sebelum kereta berhenti sepenuhnya.
N (Neutral): Untuk berhenti sementara seperti di lampu isyarat atau trafik jem. Gear bebas tanpa kuasa enjin.
D (Drive): Mod utama pemanduan ke hadapan. Gear akan bertukar secara automatik mengikut kelajuan.
D3 / 3: Mengehadkan gear ke tahap 3 sahaja. Sesuai digunakan di kawasan berbukit atau jalan curam.
3. Mengehadkan gear kepada gear 1 dan 2 sahaja.
Sesuai untuk menuruni bukit supaya tak perlu menekan brek terlalu lama.
L (Low Gear): Gear paling rendah. Digunakan untuk situasi memerlukan kuasa pecutan maksimum seperti membawa beban berat atau mendaki bukit.
Jika anda faham fungsi ini, anda akan tahu bila perlu menukar gear dan bila tidak perlu. Ianya sekaligus dapat membantu untuk mengurangkan tekanan pada sistem transmisi.
4. Menukar gear sebelum kereta berhenti sepenuhnya
Ini antara tabiat yang paling berbahaya tetapi ramai masih buat. Contohnya, semasa mahu mengundur dari tempat letak kereta, ada yang terus menukar dari D ke R (atau sebaliknya) tanpa berhenti sepenuhnya.
Walaupun kereta sedang bergerak perlahan, tindakan ini tetap memberi hentakan kuat kepada gear dalaman.
Gearbox automatik tidak direka untuk menukar arah pergerakan secara tiba-tiba. Jika anda terus menukar gear ketika roda masih berpusing, hentakan tork akan berlaku dalam sistem transmisi dan lama-kelamaan gear boleh rosak atau slip.
Oleh itu, sentiasa pastikan kereta berhenti sepenuhnya sebelum menukar gear daripada D ke R atau sebaliknya. Walaupun anda tergesa-gesa, beri masa dua hingga tiga saat sebelum menukar gear.
5. Abaikan servis minyak gearbox
Antara lain, gearbox automatik bergantung sepenuhnya kepada minyak transmisi (ATF – Automatic Transmission Fluid) untuk pelinciran dan penyejukan.
Fungsi minyak ini bukan sahaja mengurangkan geseran tetapi juga membantu memastikan setiap gear bertukar dengan lancar.
Namun begitu, ramai pemandu mengabaikan jadual penukaran minyak gearbox. Ada yang hanya fokus tukar minyak enjin sedangkan minyak gearbox pun ada jangka hayatnya sendiri.
Bila minyak gearbox terlalu lama, ia akan menjadi kotor dan hilang keupayaan melincir. Akibatnya, gear mula terasa jerk, lambat bertukar atau lebih teruk gearbox terus gagal berfungsi.
Anda disarankan untuk menukar minyak gearbox setiap 40,000 – 60,000 km atau mengikut jadual servis yang ditetapkan pengeluar kereta. Pastikan juga jenis minyak yang digunakan sesuai dengan spesifikasi transmisi kereta anda.
Kesimpulannya, kereta automatik memang direka untuk memudahkan pemanduan tetapi itu tidak bermaksud anda boleh menggunakannya tanpa peraturan.
Gearbox merupakan antara komponen paling mahal dalam sesebuah kenderaan. Kerosakannya bukan sekadar menyusahkan malah boleh membuat anda termenung bila mendengar harga gantinya.
Lima kesilapan yang nampak kecil ini boleh dielakkan jika anda peka dan berdisiplin. Jadi mulai hari ini, pandulah dengan ilmu.
Gunakan gear automatik dengan cara yang betul, elakkan tabiat buruk dan jaga transmisi kereta anda seperti mana anda menjaga enjin. Bila gearbox kekal sihat, perjalanan anda akan menjadi lebih lancar.
BACA : 7 Tanda Brek Kereta Bermasalah, No. 3 Ramai Selalu Abaikan
Sumber :
captoyota
,
startrescue