Ibu bapa tidak seharusnya mempunyai mentaliti ‘menswastakan’ sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru dan pihak sekolah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rumah tetap menjadi madrasah pertama dalam membentuk peribadi dan jati diri anak-anak.
Menurutnya, penggunaan gajet juga tidak wajar dijadikan pengganti kepada kasih sayang, perhatian serta komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.
“Jangan sesekali bermentaliti ‘menswastakan’ tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada guru dan sekolah.
“Jangan pula gajet dijadikan pengganti kasih sayang, perhatian dan komunikasi,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, karakter anak-anak banyak dipengaruhi oleh didikan, teladan serta suasana yang mereka lihat dan rasai dalam kehidupan seharian.
“Rumah tetap madrasah pertama pembentukan peribadi anak-anak. Akhirnya karakter mereka banyak mencerminkan didikan, teladan serta suasana yang mereka lihat dan rasai daripada kita.
“Paling utama, agama tetap menjadi akar penting pembentukan jati diri anak-anak,” katanya.

