Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Jangan Sampai Biduk Ditumpang Mahu Tentukan Haluan Nakhoda” – Sultan Pahang

Sultan Pahang
Kredit: Facebook Kesultanan Pahang

“Jangan Sampai Biduk Ditumpang Mahu Tentukan Haluan Nakhoda” – Sultan Pahang

Sultan Pahang, Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan titah tegas mengenai kepentingan memelihara kedaulatan negara dalam mengurus isu semasa termasuk soal kemanusiaan dan kebajikan.

Baginda menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil tidak boleh melangkaui batas undang-undang serta kepentingan negara.

Menurut baginda, Islam mengajar umatnya untuk berbuat ihsan terhadap golongan yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air dan menjadi mangsa peperangan serta penindasan.

Namun titah baginda, rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bermaksud untuk mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang telah ditetapkan.

“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri.

“Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini,” titah baginda dalam Facebook rasmi malam tadi.

Baginda bertitah, dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan.

Namun katanya, tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.

Tambah baginda, rakyat negara ini sejak sekian lama menunjukkan sifat pemurah dan berperikemanusiaan.

Bagaimanapun, kemurahan hati itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai satu kelemahan.

“Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap pihak berkuasa terus bertindak tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu tersebut menurut lunas undang-undang.

Titah baginda, kedaulatan negara perlu dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.

“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bantuan kepada rakyat tidak seharusnya bersifat bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan, berhemah dan ikhlas tanpa dipengaruhi situasi politik semasa.

Menurut baginda, kepimpinan pada hari ini tidak lagi diukur berdasarkan kepetahan berbicara semata-mata, sebaliknya melalui kejujuran menunaikan janji dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

“Rakyat tidak mendambakan pemimpin yang hanya petah berbicara, sebaliknya mengharapkan pemimpin yang menjadikan kata-kata sebagai pegangan, janji sebagai kenyataan dan amanah sebagai tanggungjawab yang dipikul sehingga selesai.

“Hijrah bukan sekadar langkah kaki meninggalkan bumi kelahiran, tetapi hijrah hati daripada kepentingan diri kepada amanah yang dipikul, daripada kata-kata yang indah kepada tindakan yang memberi manfaat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Laman Sejahtera Jelai semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya menabur janji yang hanya muncul ketika musim tertentu terutama pilihan raya, namun pudar selepas mendapat mandat.

“Bantuan kepada rakyat tidak seharusnya hadir seperti hujan bermusim yang hanya lebat ketika pilihan raya, kemudian hilang apabila musim berlalu.

“Sebaliknya, kebajikan rakyat hendaklah mengalir seperti sungai yang tidak pernah berhenti menuju muara,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat.

Menurut baginda, pendekatan itu penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.

“Rakyat boleh memaafkan kesilapan, tetapi sukar melupakan kepura-puraan. Rakyat boleh menerima kekurangan, tetapi tidak dapat menerima pemimpin yang bercakap dengan dua lidah dan berjalan dengan dua bayang,” titah baginda.