Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

“Jangan Senyum Nampak Gigi…”, Renjer Hutan Dedah 3 Ilmu Penting Ketika Berdepan Binatang Buas

ilmu hutan binatang buas

“Jangan Senyum Nampak Gigi…”, Renjer Hutan Dedah 3 Ilmu Penting Ketika Berdepan Binatang Buas

Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) merupakan sebuah hutan hujan dara yang terletak di tengah-tengah negeri Sabah.

Di hutan ini, tersimpan kisah perjuangan dan usaha murni sebatang tubuh yang tidak pernah lelah berbakti kepada alam.

Terkenal dengan latah dan gelak ketawa di media sosial, siapa sangka lelaki ini cekal memerah kudrat & mengesat keringat membelah hutan tebal demi misi murni.

Ini Kisah Renjer Hutan Sang Penjaga Permata Borneo

Di TikTok, beliau dikenali dengan perwatakannya yang lucu, spontan dan sering membuat orang Sabah tersenyum.

Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pemuda bernama MR.OUBAS ini sebenar pernah berlari menyelamatkan diri dari beruang dan memanjat pokok sambil menggalas beg.

Pemilik kepada nama sebenar, Salihuddin Somin, anak jati Negeri Di Bawah Bayu ini menghabiskan 18 tahun hidupnya sebagai Renjer Hutan di Imbak Canyon, antara kawasan hutan yang masih kekal tidak terusik di bumi Borneo.

Namun begitu, kisah Salihuddin terlebih dahulu bermula di Maliau Basin. Tiga bulan pertama tinggal di hutan, tidur ditemani bunyi unggas, mandi di sungai sejuk dan berdepan pacat tanpa henti, sudah cukup untuk untuk melahirkan sebuah tekad di dalam hatinya:

“Satu hari nanti saya mau jadi renjer.”

Beberapa tahun kemudian, impian itu menjadi kenyataan di Kanyon Imbak. Setiap hari, Salihuddin keluar masuk ke hutan. Ada kalanya, beliau berada di belantara hampir seminggu lamanya.

Di Kanyon Imbak, kehidupannya banyak berubah dan pengalaman selama 18 tahun menjadi Renjer Hutan memberi pelbagai pelajaran bermakna dalam hidup Salihuddin.

Hutan sudah menjadi bilik darjah dan ilmunya diuji beberapa kali menerusi detik cemas apabila terserempak dengan iaitu beruang.

Menurut Salihuddin, situasi genting itu berlaku ketika beliau keluar bertugas bersama seorang rakan renjer dan perlu masuk ke kawasan hutan sejauh 6 kilometer.

“Ketika dalam perjalanan, kami terserempak dengan seekor beruang besar. Ketika itu, kami sedang mendaki bukit manakala beruang berkenaan sedang menuruni bukit yang sama.

Terserempak beruang, panjat pokok selamatkan diri

“Apabila kami terserempak, rakan renjer saya bertindak melarikan diri sehingga berlanggar dengan saya.

“Beruang itu juga lari daripada kawasan itu, mungkin kerana terkejut. Rakan saya kemudian memanjat pokok untuk menyelamatkan diri.

“Saya pun ikut panjat pokok sambil menggalas beg seberat 40 kilogram. Kami tidak turun sehinggalah yakin beruang tersebut sudah meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Menurut Salihuddin, dari peristiwa itulah beliau belajar apabila berdepan situasi cemas terserempak dengan binatang buas, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mencari kawasan yang selamat seperti memanjat pokok.

Beliau turut berkongsi beberapa tip penting apabila bertemu binatang buas seperti ular, harimau dan monyet ketika berada di hutan.

“Jika terserempak dengan ular berbisa, kita cuma perlu mengelak atau menjauhkan diri daripada kawasan tersebut.

“Tetapi kalau harimau, kecuali yang ada anak, biasanya akan mengelak daripada mendekati atau bertembung dengan manusia.

“Kalau anda sedang berjalan dan bertemu dengan monyet, satu perkara yang tidak boleh dilakukan adalah senyum hingga menampakkan gigi.

“Kerana bagi monyet, apabila anda senyum dan memperlihatkan gigi, tindakan itu seolah-seolah mahu mengajak haiwan itu bergaduh,” kata Salihuddin lagi.

Seiring dengan perkembangan dunia media sosial, Salihuddin juga sebenarnya adalah seorang TikToker yang cukup terkenal terutamanya di bumi kelahirannya sendiri.

MR.OUBAS, nama dengan karakter tersendiri

Hadir di dunia maya dengan nama MR.OUBAS, beliau yang memiliki lebih 90,000 pengikut di TikTok sering berkongsi pelbagai kandungan yang mencuit hati warga maya.

Menurut Salihuddin, oubas adalah perkataan dari Bahasa Dusun yang membawa maksud ‘biasa’ atau ‘orang biasa’.

Beliau kemudian menggunakan nama MR.OUBAS sebagai satu nama yang memiliki karakter yang tersendiri di media sosial.

“Dulu saya tidak terlalu ‘bermain’ dengan media sosial ini. Saya lebih fokus hiburkan diri di hutan.

“Sehinggalah suatu hari pihak pengurusan menghantar saya menyertai kursus anjuran Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Yayasan Sabah.

“Bermula dari saat itu, saya mula (belajar) mengambil video menggunakan telefon bimbit selama setahun.

“Tetapi, belum rezeki untuk FYP. Suatu hari, saya balik ke kampung berjumpa dengan ibu saya dan menghasilkan video bersama-sama.

“Saya muat naik (ke TikTok) seperti biasa. Saya tidak kisah orang hendak tengok atau tidak. Tiba-tiba, saya menerima banyak chat yang memaklumkan bahawa saya sudah menjadi viral.

“Bila saya tengok video-video saya (di TikTok), jumlah tontonan satu malam naik kepada 70-80 ribu sehingga ratusan ribu,” katanya.

Bagi Salihuddin, menyertai bengkel fotografi tersebut merupakan satu keputusan tepat yang membuka jalan untuk beliau menjadi seorang pencipta kandungan yang berkualiti.

Selain menghasilkan kandungan-kandungan berbentuk komedi, Salihuddin turut memanfaatkan akaun TikTok dengan berkongsi tentang alam dan hutan.

“Saya buat kandungan mengenai hutan pun orang tengok. Kandungan-kandungan yang saya buat sebenarnya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai,” tambahnya lagi.

Menurut Salihuddin, beliau kemudian mula bergaul dengan pencipta-pencipta kandungan yang lain dan menerima dengan hati terbuka apabila beliau turut dipanggil sebagai pencipta kandungan.

Alam akan diwarisi oleh generasi akan datang

Sebagai renjer hutan dan pencipta kandungan yang mempunyai puluhan ribu pengikut, harapan Salihuddin agar kandungan-kandungan yang dihasilkan memberi impak kepada para pengikutnya.

“Pesan saya kepada generasi akan datang yang bakal menggantikan kami, jangan khianati hutan ini.

“Hutan adalah satu benda yang sangat berharga. Bagi saya, apabila sesuatu benda itu menjadi semakin sedikit, benda itu akan menjadi semakin mahal.

“Di dunia ini, benda yang semakin sedikit, dari tahun ke tahun adalah hutan. Jadi, jagalah hutan ini betul-betul,” pesan Salihuddin.

Pada masa yang sama, Salihuddin bersyukur dan terharu apabila ada pihak mengambil langkah dan inisiatif untuk memelihara hutan ini, bertepatan dengan harapannya yang mahu melihat alam terus dapat diwarisi generasi akan datang.

Semoga kisah unik dan penuh warna Salihuddin, dari seorang renjer hutan kepada MR.OUBAS si pencipta kandungan terkenal ini memberi manfaat kepada semua.

Saksikan cerita penuh “Ini Kisah Aku: MR.OUBAS” di bawah: