Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jangan Terus Buang, Ini Sebab Mengapa 'Baby Carrot' Ada Lapisan Putih

Lapisan putih baby carrot
Kredit: Reader's Digest

Pernahkah anda membuka sebungkus baby carrot yang disimpan dalam peti sejuk, tetapi tiba-tiba perasan ada lapisan putih pada permukaannya?

Lapisan putih itu mungkin kelihatan seperti tanda sayur sudah rosak, berkulat atau tercemar, namun sebenarnya terdapat penjelasan saintifik yang mudah di sebaliknya.

Fenomena tersebut dikenali sebagai ”carrot blush” dan ia merupakan keadaan yang normal serta tidak berbahaya.

Menurut pakar tumbuhan, Pol Bishop dan pengasas bersama Blooming Secrets, Susan Brandt, lapisan putih itu berlaku akibat kehilangan kelembapan pada baby carrot.

Jadi, apa sebenarnya yang menyebabkan lapisan putih itu muncul dan adakah ia selamat untuk dimakan?

Hari ini, SK kongsikan fakta sebenar di sebalik lapisan putih pada baby carrot yang mungkin selama ini buat anda tertanya-tanya.

Bukan klorin atau kulat

Ada yang mendakwa lapisan putih pada baby carrot berpunca daripada klorin, tetapi dakwaan itu sebenarnya tidak tepat.

Lapisan tersebut juga bukan kulat.

Sebaliknya, ia berlaku apabila baby carrot mengalami dehidrasi atau kehilangan kandungan air.

Lapisan nipis berwarna putih itu dikenali sebagai “carrot blush” dan ia agak biasa berlaku. Malah, jika baby carrotdibiarkan di atas kaunter dapur pada hari yang panas, kemungkinan untuk melihat lapisan putih tersebut menjadi lebih tinggi.

Bagaimana “carrot blush” terbentuk?

Menurut Bishop, carrot blush terbentuk apabila baby carrot kehilangan kelembapan apabila terdedah kepada persekitaran yang kering.

Kehilangan kelembapan pada lapisan luar sayur menyebabkan permukaannya menjadi lebih kasar dan cahaya tersebar pada permukaan tersebut.

Keadaan itu akhirnya menghasilkan kesan atau tanda berwarna keputihan pada baby carrot.

Lapisan putih juga boleh muncul akibat kerosakan pada sel kulit sayur berkenaan.

Kredit: Mental Floss

Tetapi mengapa keadaan ini lebih biasa berlaku pada baby carrot berbanding lobak merah biasa?

Menurut Brandt, jawapannya terletak pada lapisan pelindung semula jadi pada lobak merah.

Dalam proses mekanikal untuk membentuk lobak merah kepada saiz baby carrot, sayur tersebut kehilangan lapisan pelindung yang dikenali sebagai periderm.

Tanpa lapisan pelindung itu, baby carrot kehilangan kelembapan dengan lebih cepat berbanding lobak merah biasa yang masih mempunyai lapisan perlindungan tersebut.

Selamatkah dimakan?

Ya, selamat. Carrot blush tidak berbahaya kerana ia hanya menunjukkan bahawa baby carrot tersebut telah kehilangan sebahagian kelembapannya.

Dakwaan bahawa lapisan putih itu berpunca daripada klorin mungkin timbul kerana baby carrot sememangnya direndam dalam larutan klorin ringan sebagai langkah antibakteria.

Bagaimanapun, menurut Jody Gatewood, Pakar Program Pemakanan dari Iowa State University, baby carrot dibilas dengan air selepas melalui rawatan klorin yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) selama dua minit.

Justeru, klorin bukanlah punca lapisan putih yang kelihatan pada baby carrot.

Macam mana nak hilangkan lapisan putih?

Anda tidak perlu menggunakan pencuci khas atau larutan cuka untuk menghilangkan lapisan putih tersebut.

Memadai dengan membasuh baby carrot menggunakan air.

Anda juga boleh merendamnya dalam air untuk membantu mengembalikan kelembapan dan warna jingga yang lebih terang.

Namun, jika anda masih kurang selera melihat lapisan putih itu walaupun ia selamat dimakan, baby carrot tersebut boleh dimasak.

Memasaknya bukan sahaja mengubah rupa sayur tersebut, malah boleh menjadikannya lebih menyelerakan.

Adakah lapisan putih tanda baby carrot sudah rosak?

Tidak. Menurut Brandt, carrot blush bukan petanda baby carrot sudah rosak atau perlu dimakan dengan segera.

Ia hanya menunjukkan bahawa sayur tersebut telah mengalami sedikit kehilangan kelembapan.

Jadi, jika anda sedang menikmati baby carrot dan termakan sedikit lapisan putih berkenaan, tidak perlu panik kerana ia tidak berbahaya.

Kredit: Reader's Digest

Bagaimanapun, terdapat beberapa tanda lain yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh menunjukkan baby carrot sudah tidak selamat dimakan.

Ini tanda baby carrot sudah rosak

Jika disimpan dengan betul, baby carrot yang segar boleh bertahan kira-kira dua hingga tiga minggu di dalam peti sejuk.

Namun, seperti sayur-sayuran lain, ia tetap boleh rosak walaupun disimpan dalam keadaan sejuk.

Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

  1. Berkulat

Kehadiran kulat pada baby carrot merupakan tanda jelas bahawa ia perlu dibuang.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), jika hanya terdapat satu tompok kecil kulat, bahagian berkenaan boleh dipotong dan dibuang dengan sekurang-kurangnya 2.5 sentimeter di sekelilingnya sebelum baki sayur digunakan.

Namun, jika terdapat kulat di beberapa bahagian, lebih selamat untuk membuang keseluruhan carrot.

  1. Berbau busuk atau menyengat

Bau yang kuat dan tidak menyenangkan juga merupakan petanda bahawa carrot sudah tidak selamat dimakan.

Bau tersebut boleh menunjukkan berlakunya proses pereputan mikrob atau perubahan kimia akibat aktiviti bakteria.

Jika terhidu bau pelik atau menyengat, lebih baik buang sahaja.

  1. Berlendir

Jika permukaan carrot terasa berlendir atau mempunyai lapisan seperti lendir, ia juga boleh menjadi tanda pertumbuhan bakteria.

Membasuh lendir tersebut semata-mata tidak bermakna proses kerosakan telah berhenti.

Jadi, carrot yang sudah berlendir sebaiknya tidak dimakan.

Cara simpan baby carrot supaya tahan lebih lama

Penyimpanan dalam peti sejuk pada masa yang sesuai merupakan antara cara untuk memastikan baby carrot kekal segar.

Selain itu, perkara paling penting ialah mengelakkan kehilangan kelembapan.

Anda boleh menyimpan baby carrot dalam bekas bertutup atau beg berzip.

Jika tiada kedua-duanya, anda juga boleh membungkusnya dengan kemas menggunakan kerajang aluminium atau plastik pembalut.

Jika terbeli terlalu banyak, baby carrot juga boleh dibekukan untuk disimpan dalam tempoh lebih lama.

Bagaimanapun, selepas dinyahbekukan, teksturnya mungkin tidak lagi rangup seperti sebelum dibekukan.

Jadi, baby carrot yang telah dinyahbekukan lebih sesuai digunakan dalam masakan seperti sup dan stew berbanding hidangan mentah seperti salad yang memerlukan tekstur rangup.

Kesimpulannya, jangan terus buang baby carrot hanya kerana nampak lapisan putih padanya.

Selagi tiada tanda seperti kulat, bau busuk atau lapisan berlendir, keadaan tersebut kemungkinan besar hanyalah carrot blush akibat kehilangan kelembapan dan ia masih selamat untuk dimakan.

Intipati
  • Lapisan putih pada baby carrot ialah carrot blush akibat kehilangan kelembapan, bukan kulat.
  • Baby carrot lebih mudah kering kerana proses mekanikal menanggalkan lapisan pelindung semula jadinya.
  • Tanda rosak termasuk kulat, bau busuk atau lendir; simpan bertutup untuk kekalkan kelembapan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan