Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JBPM Sarawak Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Super El Nino

EL NINO
Kredit: Media sosial

JBPM Sarawak Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Super El Nino

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan logistik dengan menyusun gerak kerja aset darat dan udara sebagai persediaan menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara tahun ini.

Pengarah JBPM Negeri Sarawak, PKPJB Jamri Masran berkata, persiapan awal telah dilaksanakan bagi memastikan setiap aset ditempatkan secara strategik di kawasan berisiko tinggi, khususnya bagi menghadapi peningkatan kes kebakaran terbuka.

Menurut beliau, tumpuan utama diberikan kepada usaha memperkukuh keupayaan logistik bagi membendung kejadian kebakaran yang dijangka meningkat susulan cuaca panas.

“JBPM Negeri Sarawak telah melakukan persiapan awal dan menyusun gerak kerja aset darat serta udara bagi menghadapi ancaman fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara pada tahun ini.

“Aset darat dan udara telah diatur gerak serta ditempatkan di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan berterusan sejak 1 Julai lalu, pihaknya merekodkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini.

Katanya, Bahagian Kuching dan Miri mencatatkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi berbanding kawasan lain di negeri itu.

Walaupun keadaan masih terkawal dan berada pada tahap stabil, Jamri berkata pihaknya bimbang jumlah kes akan terus meningkat sekiranya orang ramai terus melakukan aktiviti pembakaran terbuka ketika cuaca panas.

Ujarnya, situasi itu bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran merebak, malah berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat akibat pencemaran asap.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua lapisan masyarakat supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Jamri berkata JBPM Negeri Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, beliau memaklumkan kebakaran hutan yang berlaku di Taman Negara Niah bermula semalam dipercayai berpunca daripada sambaran petir sehingga menyebabkan pokok-pokok di puncak bukit batu kapur terbakar.

Katanya, JBPM telah mendapatkan bantuan Unit Udara Bomba yang berpangkalan di Miri bagi menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah water bombing dari udara bagi mengawal kebakaran tersebut.