Jep Tinggalkan Sinar FM Lepas 10 Tahun, Titip Ucapan Istimewa Termasuk Untuk Shuib
Selepas 10 tahun, pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada Sinar FM.
Jep menerusi kiriman di Instagram miliknya memuat naik momen hari terakhirnya bertugas pada Rabu.
Pelawak berusia 40 tahun itu memberi ucapan penghargaan kepada semua pendengar radio tersebut yang menyokongnya selama ini.
"Ini hari terakhir saya di Sinar. Tak ada apa yang saya nak katakan melainkan terima kasih saya kepada pendengar-pendengar setia Sinar yang sentiasa sokong saya dekat sini sepanjang saya 10 tahun.
"Sebab saya rasa orang yang patut saya utamakan adalah mereka-mereka yang sentiasa bagi sokongan pada saya. Tak kisah ketika saya di Sepahtu Reunion," katanya.
Menurutnya, tempoh 10 tahun adalah lama dan di situlah terujinya kesetiaan.
"10 tahun ini memang satu tempoh yang sangat panjang. Saya sangat-sangat bersyukur dan terima kasih di atas sokongan padu selama tempoh tersebut," katanya.
Terima kasih rakan-rakan
Jep juga menyatakan penghargaannya terhadap rakan-rakan penyampai terdahulu termasuk Shuib.
"Daripada Sepahtu Sinar, saya, Rahim dan Shuib. Lepas itu ada Pagi di Sinar, ada saya, Rahim, Angah dan Elizad. Ada juga Pagi di Sinar bersama Ray.
"Jadi rakan-rakan yang pernah berurusan dengan saya terima kasih banyak. Semoga terus sukses. Terima kasih dalam tempoh 10 tahun kita bekerja itu.
"Mungkin ada gurauan-gurauan atau kata-kata yang mungkin tak sedap didengar. Ada terkasar bahasa tetapi percayalah itu adalah cuma urusan kerja sahaja, tak ada lebih dari itu.
"Saya minta maaf banyak-banyak," ujarnya.
Dia turut meminta maaf kepada pendengar jika selama ini ada terkasar bahasa dan ada kata-kata yang tak sesuai digunakan.
"Ada gurauan yang mungkin saya tak sedar, terima kasih sentiasa menyokong saya," katanya