Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu Johor: 807 Sekolah Agama Dan Institusi Pendidikan Islam Di Bawah JAINJ Ditutup Dua Hari

AGAMA
Gambar hiasan.

Sebanyak 807 sekolah agama dan institusi pendidikan Islam di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan ditutup selama dua hari mulai esok susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, penutupan itu membabitkan 575 Sekolah Agama Kerajaan Johor, tiga Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor serta 239 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar di bawah JAINJ.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah dan institusi pendidikan Islam.

“Penutupan ini merupakan langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah dan institusi pendidikan Islam susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang berlaku ketika ini.

“Sebarang peperiksaan, pentaksiran atau program yang dijadualkan dalam tempoh tersebut akan ditangguhkan dan dijadualkan semula, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa dan agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fared turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau keadaan kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan keselamatan serta kesihatan anak-anak Johor sentiasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan semua sekolah di negeri itu ditutup susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatatkan tahap tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penutupan berkenaan turut ditetapkan selama dua hari, iaitu esok dan lusa.

“Penutupan ini melibatkan seramai 617,258 murid dan pelajar di sebanyak 1,198 buah sekolah pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Intipati
  • JAINJ akan menutup 807 sekolah agama dan institusi pendidikan Islam selama dua hari.
  • Penutupan itu membabitkan 575 sekolah agama, tiga sekolah menengah agama dan 239 IPIS berdaftar.
  • Peperiksaan, pentaksiran dan program dalam tempoh penutupan akan ditangguhkan serta dijadualkan semula.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan