Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan mana-mana pentaksiran di sekolah di Johor yang terlibat akan ditangguhkan susulan penutupan semua sekolah di negeri itu pada 8 dan 9 Oktober ini akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berkata, pelaksanaan MPT4 atau mana-mana pentaksiran berkenaan akan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPN Johor.
“Bagi sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran, pelaksanaannya akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPNJ, semua sekolah di seluruh Johor ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjaga keselamatan serta kesihatan murid susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang berlaku ketika ini.
Keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan.
“Bagi sekolah berasrama, kebenaran pulang adalah tertakluk kepada keputusan pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa serta pertimbangan aspek keselamatan dan kebajikan murid,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan pertimbangan KPM, guru dan kakitangan sekolah turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, manakala pegawai di JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan bertugas seperti biasa.
JPNJ turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya terus memantau keadaan kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
“Semoga keadaan jerebu segera beransur pulih. Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat bersama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak-anak Johor,” menurut kenyataan itu.


