Macam yang ramai tahu, keadaan jerebu di Malaysia semakin teruk susulan kebakaran yang sedang berlaku di negara jiran semakin meluas.
Mungkin ramai yang tahu apa perkara asas yang perlu dilakukan semasa jerebu seperti memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti di luar.
Tapi, mungkin ada beberapa perkara yang anda masih lakukan seperti biasa tanpa memikirkan kesannya terhadap kualiti udara yang disedut.
Dalam keadaan jerebu, bukan udara di luar sahaja perlu diberi perhatian. Udara di dalam rumah dan kereta juga boleh terjejas jika langkah yang betul tidak diambil.
Jadi, sebelum teruskan rutin seperti biasa, ini lima perkara yang sebaiknya dielakkan ketika jerebu.
Jerebu Makin Teruk, Jadi Jangan Buat Lime Perkara Ini
1. Buka tingkap untuk “bagi angin masuk dalam rumah”
Kalau udara di luar sedang tercemar, membuka tingkap bukanlah cara terbaik untuk mendapatkan udara yang lebih segar.
Sebaliknya, udara berjerebu boleh masuk ke dalam rumah menyebabkan peningkatan risiko terdedah kepada zarah halus.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya tingkap, pintu dan ruang terbuka ditutup bagi mengurangkan kemasukan jerebu ke dalam bangunan.
Jadi, kalau langit di luar sudah nampak berkabus dan bacaan kualiti udara tidak sihat, mungkin ini bukan masa yang sesuai untuk buka tingkap.
2. Tetap bersenam di luar seperti biasa
Jogging, berbasikal atau bermain bola di luar mungkin sudah menjadi rutin harian.
Tapi, ketika jerebu, aktiviti fizikal yang lasak boleh menyebabkan seseorang bernafas lebih laju dan menyedut lebih banyak udara.
KKM menyarankan orang ramai mengurangkan aktiviti luar ketika keadaan jerebu.
Tak perlu paksa diri mengejar 10,000 langkah pada hari udara sedang tidak cantik. Senaman atau aktiviti dalam rumah sudah memadai buat sementara waktu.
3. Guna penghawa dingin tetapi biarkan udara luar masuk
Ramai mungkin tidak tahu bahawa cara penghawa dingin digunakan juga boleh mempengaruhi jumlah udara tercemar yang masuk ke dalam ruang.
Jika sistem penghawa dingin mempunyai pilihan untuk mengambil udara dari luar, United States Environmental Protection Agency (EPA) menyarankan supaya sistem tersebut ditutup atau ditetapkan kepada mod “recirculate” ketika jerebu.
Maksudnya, udara dalam ruang dikitar semula melalui sistem penghawa dingin, bukannya terus menarik udara luar masuk.
KKM juga menekankan kepentingan penyelenggaraan penghawa dingin ketika jerebu, jadi bagi penghawa dingin rumah biasa, pastikan penapis dibersihkan dan diselenggara dengan baik.
4. Merokok atau membakar sesuatu di dalam rumah
Kalau udara luar sudah tidak elok, jangan pula tambah pencemaran di dalam rumah.
Merokok, membakar lilin atau menghasilkan asap lain boleh menambahkan zarah dalam udara dalaman.
EPA menyarankan supaya aktiviti seperti merokok dan pembakaran yang menghasilkan zarah dielakkan dalam ruang yang digunakan sebagai kawasan udara bersih ketika episod pencemaran asap.
Ringkasnya, jangan sampai sudah tutup semua tingkap untuk elak jerebu, tetapi dalam rumah pula penuh dengan asap.
5. Pandu dengan tingkap terbuka
Kereta mungkin terasa lebih nyaman apabila tingkap dibuka, terutama ketika cuaca panas tapi ketika jerebu, tindakan ini membuatkan udara luar masuk terus ke dalam kereta.
Jika perlu memandu, EPA menyarankan supaya tingkap dan saluran udara luar ditutup serta penghawa dingin kereta ditetapkan kepada mod “recirculate” untuk mengurangkan udara tercemar masuk.
Ini juga penting jika jarak penglihatan berkurang akibat jerebu. Pandu dengan lebih berhati-hati dan jangan terlalu bergantung pada keadaan jalan yang kelihatan jelas dari jauh.
Jerebu bukan bermaksud perlu duduk diam di dalam rumah sepanjang hari tapi, apabila kualiti udara merosot, beberapa tabiat harian perlu diubah buat sementara waktu.
Paling penting, semak bacaan kualiti udara di kawasan masing-masing dan ikut nasihat pihak berkuasa, terutama jika jerebu semakin teruk.

