Ketika beberapa kawasan di Sarawak dilanda jerebu teruk, usaha menghasilkan hujan menerusi operasi pembenihan awan (OPA) pula menarik perhatian netizen selepas proses berkenaan dikongsikan di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna @peter_salan98 berkongsi rakaman operasi berkenaan yang dilihat sebagai antara usaha untuk membantu menangani masalah jerebu di Sarawak.
“Operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan dan mengurangkan jerebu di seluruh Sarawak,” katanya.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi positif netizen yang menyifatkan usaha berkenaan sebagai langkah penting demi mengurangkan kesan jerebu terhadap penduduk, alam sekitar serta hidupan liar.
“Banyak jabatan/unit yang terlibat dalam pembenihan awan ini. Spotted Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bekalan Air Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, TLDM dan semestinya ada TUDM lagi.
“Nampaklah Malaysia memang sungguh-sungguh dalam menangani isu jerebu ini,” jelas pengguna @meamow_meamow__91.

Seorang lagi pengguna, @nrfthhmdnr, turut menzahirkan sokongan terhadap operasi tersebut dengan berkata, “Kita halalkan demi flora dan fauna di sana.”
Garam Jadi Bahan Pembenihan Awan
Dalam pada itu, pengguna @meta.ai menerangkan mengenai bahan yang digunakan dalam proses pembenihan awan di Malaysia, termasuk campuran garam natrium klorida (NaCl) dan air.
Menurutnya, operasi itu menggunakan empat tangki yang masing-masing mengandungi 200 kilogram garam dan 1,500 liter air, sebelum campuran berkenaan dibawa menggunakan pesawat untuk operasi pembenihan awan.
Katanya, pesawat akan mencari awan yang sesuai sebelum bahan berkenaan dilepaskan bagi membantu proses pembentukan titisan air dan seterusnya menghasilkan hujan.
“Garam itu jadi nukleus untuk wap air berkumpul jadi titisan hujan,” jelasnya.
@meta.ai turut berkata, proses tersebut bukan sekadar melibatkan penyemburan bahan dari udara, sebaliknya bermula dengan mengenal pasti awan yang mempunyai keadaan sesuai untuk pembenihan.

Menurutnya, pasukan berkaitan terlebih dahulu menggunakan radar cuaca bagi mengenal pasti awan yang lembap dan matang sebelum bahan pembenihan disediakan.
“Tak semua awan boleh jadi,” katanya.
Usaha Bersama Tangani Jerebu
Perkongsian mengenai operasi itu turut memperlihatkan penglibatan pelbagai agensi dalam usaha menangani keadaan jerebu yang melanda Sarawak.

