Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jersi Michael Jordan Terjual RM58 Juta, Rekod Baharu Memorabilia Bola Keranjang

JERSI
Kredit: X Sotheby

Bayangkan sehelai jersi bola keranjang terjual pada harga AS$14 juta (kira-kira RM58 juta), sekali gus mencipta rekod sebagai memorabilia bola keranjang paling mahal pernah dijual.

Itulah nilai jersi legenda NBA, Michael Jordan, yang dipakainya ketika beraksi bersama Chicago Bulls dalam perlawanan kedua Final NBA 1998, musim yang dikenali sebagai The Last Dance.

Lebih istimewa, jersi berkenaan turut ditandatangani Jordan sendiri.

Dalam perlawanan tersebut, Jordan mencatatkan 37 mata, jumlah tertinggi dalam kalangan pemain pada malam itu, sebelum menamatkan musim terakhirnya bersama Chicago Bulls dengan kejayaan menewaskan lawan 4-2 dalam siri final.

Kemenangan itu turut melengkapkan kejuaraan NBA keenam dan terakhirnya bersama pasukan berkenaan. Jordan juga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Final NBA bagi kesemua enam kejuaraan tersebut.

Menurut laporan BBC, jersi berkenaan dibeli oleh pelabur hartanah dari Miami, Ron Firman, menerusi urus niaga persendirian yang dikendalikan Hunt Auctions.

Nilai jualan itu mengatasi rekod terdahulu bagi memorabilia bola keranjang, iaitu kad koleksi yang memaparkan Jordan dan Kobe Bryant dari musim 2007-2008, yang terjual pada harga AS$12.9 juta (kira-kira RM53 juta) pada tahun lalu.

Malah, hanya dua minggu sebelum itu, satu lagi jersi Jordan yang dipakainya dalam perlawanan ketiga Final NBA 1998 terjual pada harga AS$12.3 juta (kira-kira RM51 juta). Jersi berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai tandatangan Jordan.

Walaupun mencatatkan rekod baharu dalam dunia memorabilia bola keranjang, jersi Jordan itu masih belum mengatasi harga jualan memorabilia sukan termahal setakat ini.

Rekod tersebut masih dipegang oleh jersi legenda besbol, Babe Ruth, yang dipakainya ketika aksi Siri Dunia 1932 dalam detik terkenal yang dikenali sebagai Called Shot. Jersi itu terjual pada harga AS$24.1 juta (kira-kira RM100 juta) pada 2024.

Presiden Hunt Auctions, David Hunt berkata, kedudukan Jordan dalam pasaran memorabilia sukan sememangnya sudah lama kukuh, namun nilainya kini meningkat sehingga setanding aset eksklusif seperti karya seni ikonik.

Sumber:BBC Sport
Intipati
  • Jersi Michael Jordan dari Final NBA 1998 terjual AS$14 juta, rekod memorabilia bola keranjang.
  • Jersi bertandatangan itu dibeli Ron Firman menerusi urus niaga persendirian kendalian Hunt Auctions.
  • Rekod memorabilia sukan termahal masih dipegang jersi Babe Ruth bernilai AS$24.1 juta.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan