Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

WASHINGTON -- Sebuah pesawat F/A-18 Hornet dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di negeri Washington, sementara juruterbang dilaporkan selamat, lapor NBC News.
Menurut Jabatan Bomba Naches, nahas berkenaan mencetuskan kebakaran.
Perkara itu disahkan oleh Kumpulan Pesawat Marin 11, Sayap Pesawat Marin ke-3 dalam satu kenyataan melibatkan pesawat miliknya yang berpangkalan di Stesen Udara Kor Marin Miramar di California.
"Jet pejuang tersebut sedang menjalankan latihan rutin apabila ia terhempas, juruterbang berjaya keluar menyelamatkan diri dengan selamat (eject), dan pegawai syerif tempatan telah menemui anggota marin berkenaan.
"Manakala juruterbang itu telah dikejarkan ke hospital susulan nahas berhampiran Tasik Rimrock," kata kenyataan itu.
Jabatan bomba menyatakan bahawa pihak mereka bersama Perkhidmatan Perhutanan AS telah bertindak balas terhadap kebakaran hutan yang tercetus akibat serpihan nahas tersebut.
"Unit kami telah selesai melakukan perlindungan struktur berhampiran kabin Bear Creek dan baru sahaja meninggalkan lokasi kejadian," kata jabatan bomba.
Punca nahas masih dalam siasatan kata Kumpulan Pesawat Marin 11, Sayap Pesawat Marin ke-3.
"Bagi memelihara integriti siasatan, tiada butiran tambahan tersedia buat masa ini," katanya dalam kenyataan tersebut.
Kawasan nahas itu dilihat berada dalam kawasan Hutan Simpan Negara Okanogan-Wenatchee dan terletak kira-kira 125 batu di tenggara Seattle.