Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jet Pejuang India Terhempas Di Pertunjukan Udara Dubai, Juruterbang Maut

jet india terhempas dubai
Gambar: Video Tular

Jet Pejuang India Terhempas Di Pertunjukan Udara Dubai, Juruterbang Maut

DUBAI — Sebuah jet pejuang milik India, Tejas terhempas ketika melakukan pertunjukan udara di Dubai Airshow pada Jumaat, lapor AFP.

Difahamkan, ketika itu jet berkenaan sedang melakukan satu manuver sebelum ia menjunam ke tanah dan meletup menjadi bola api.

Insiden itu mengakibatkan juruterbang jet berkenaan maut selepas tidak sempat keluar menggunakan kerusi anjal.

Menerusi video tular yang dikongsikan pengunjung, nahas itu berlaku tepat di hadapan pentas utama, dengan pengunjung yang menyaksikan pertunjukan aerobatik pada hari terakhir pameran udara terbesar di Timur Tengah itu.

Sementara itu, pejabat media kerajaan Dubai mengesahkan insiden itu manakala Tentera Udara India (IAF) mengumumkan satu siasatan akan dijalankan berhubung kejadian.

“IAF amat kesal dengan kehilangan nyawa ini dan berdiri teguh bersama keluarga mendiang dalam waktu duka ini,” kata kenyataan itu.

Insiden itu berlaku pada permulaan sesi pertunjukan udara harian yang menampilkan aksi barrel roll, loop dan aksi akrobatik lain.

Ini adalah nahas kedua melibatkan pesawat Tejas dalam tempoh kurang dua tahun, selepas kemalangan latihan yang tidak meragut nyawa di Rajasthan pada Mac tahun lalu

Pada September, India menandatangani pesanan bernilai AS$7 bilion bagi 97 jet pejuang Tejas Mk1A yang dinaik taraf untuk menggantikan armada MiG-21 Rusia selepas puluhan tahun digunakan.

Tejas, yang direka dan dibina di India, mula diserapkan ke dalam tentera udara pada tahun 2016.

Nahas pada Jumaat itu dipercayai yang pertama dalam sejarah Dubai Airshow sejak acara itu bermula pada tahun 1986.

Sumber: AFP via France24

BACA: 5 Negara Dengan Populasi Penduduk Ramai, Tapi Tak Pernah Layak Piala Dunia