TAWAU- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau hari ini menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan dinaiki air atau banjir agar tidak melakukan aktiviti bermandi manda.
Pegawainya, Sailun Aris berkata, peringatan itu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman bahaya hidupan liar termasuk buaya hanyut, atau naik ke permukaan disebabkan banjir.
“Penduduk dinasihat berhati-hati dan tidak mandi di kawasan banjir, khususnya berhampiran sungai-sungai yang sedia maklum diketahui menjadi habitat buaya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Sailun dalam pada itu, mengesahkan kejadian seekor buaya dikesan naik ke permukaan, sewaktu banjir di Kampung Titingan Blok 9 di sini pagi tadi, dan menghampiri rumah penduduk.
“Kita terima panggilan pada 1.30 petang tadi daripada penduduk berhubung perkara itu,” katanya.
Awal hari ini, beberapa kawasan di Tawau, terjejas dinaiki air akibat hujan lebat sejak pukul 3 pagi tadi. Bagaimanapun, keadaan itu semakin reda pada pukul 10 pagi selepas hujan berhenti.
— BERNAMA
