Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam hantarannya di laman Twitter menyuarakan harapannya agar Keluarga Malaysia berganding bahu untuk mengurangkan kes Covid-19 di Malaysia.
“Harapan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ialah kita semua bersatu padu dari peringkat akar umbi sehingga ke kepimpinan tertinggi untuk bersama mengurangkan kes Covid-19 dan menyelamatkan negara kita,” tulis Dr Noor Hisham dalam ciapan tersebut.
“Kejayaan akan terbukti jika kita bersatu hati dengan sinar cahaya ‘Noor’ di hujung terowong. InsyaAllah,” tambah beliau.
Dr Noor Hisham turut memuatnaik potongan video menyeru individu yang masih belum menerima vaksin agar tampil ke depan untuk mendapatkan vaksinasi dengan kadar segera.
Dalam video tersebut, turut disertakan ungkapan “Sinar Di Hujung Terowong Semakin Hampir”, sinonim dengan tulisan Dr Noor Hisham di kapsyen ciapannya.
Klip video 35 saat dari RTM itu berakhir dengan kata-kata Dr Noor Hisham yang bertulis, “Sekatan pergerakan hanya untuk melambatkan penularan Covid (Covid-19), bukan penyelesaian pengakhiran pandemik itu”.
Malaysia kini hampir mencapai 90 peratus populasi dewasa yang menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. Setakat semalam, 86.8 peratus individu dewasa telah cukup dua dos vaksinasi.
Memetik pernyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelonggaran yang ditunggu-tunggu iaitu perjalanan rentas negeri akan dibenarkan setelah 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berjaya dicapai.
Sumber: DG Hisham, Sinar Harian