Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki warganegara Pakistan ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti sebagai ‘doktor tidak bertauliah’.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi satu kenyataan berkata lelaki itu ditahan dalam satu Operasi Khas pada 25 Jun di sekitar Subang Bestari, Selangor.
Operasi yang bermula jam 11.52 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut perkongsian JIM di Facebook, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak dan menyerbu sebuah premis dan menahan 'doktor palsu' itu.

Semakan awal mendapati lelaki tersebut tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Tangkapan ini merupakan kes keempat sejak tahun 2024 yang dikesan oleh JIM membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai 'doktor tidak bertauliah' di negara ini," kata JIM.
Selain itu, pasukan operasi telah menyita peralatan perubatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini termasuk cap nama saspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen perakuan amalan tahunan (APC) dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

JIM berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
Klinik tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh seorang warganegara asing yang tidak mempunyai kebenaran yang sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini.
Suspek dipercayai diambil bekerja oleh individu berkenaan bagi menjalankan tugas sebagai 'doktor tidak bertauliah'.
"Bagi mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pesakit, klinik tersebut dipercayai menggunakan dokumen Perakuan Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate - APC) serta kelayakan perubatan milik individu lain," tulis JIM.
Hasil pemeriksaan lanjut, klinik ini juga dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa melakukan pemeriksaan atau penilaian kesihatan kepada pelanggan yang hadir dan mengenakan bayaran sebanyak RM20.00 bagi setiap pelanggan. Klinik tersebut dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan.

Suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang wanita warga tempatan dberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara," tulis JIM.