Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pelajar pelatih ketika melakukan kerja pembersihan tangki air di Menara Saujana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun lalu.
Mangsa, Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 24, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menjalankan tugasan berkenaan.
Ketua Pengarah JKKP, Hazlina Yon berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan telah mengambil tindakan segera selepas menerima laporan kejadian.
Menurut beliau, pegawai penyiasat JKKP Selangor telah dihantar ke lokasi sejurus menerima pemberitahuan bagi menjalankan siasatan awal.
“JKKP turut mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih terperinci.
“Siasatan lanjut sedang diteruskan termasuk mengambil keterangan daripada saksi berkaitan. Jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang menyentuh tanggungjawab majikan, pekerja sendiri dan pihak berkaitan dalam memastikan keselamatan di tempat kerja.
Dalam masa sama, Hazlina mengingatkan semua majikan supaya memberi perhatian serius terhadap prosedur keselamatan terutama bagi kerja berisiko tinggi seperti di ruang terkurung.
Katanya, setiap kerja perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi selamat termasuk mendapatkan permit kerja berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan risiko dipatuhi sebelum pekerja dibenarkan memasuki kawasan berbahaya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar latihan industri dan pekerja baharu perlu diberikan latihan keselamatan secukupnya selain dipantau oleh penyelia yang kompeten.
“Ini penting bagi memastikan mereka memahami risiko kerja, mematuhi prosedur yang ditetapkan dan dapat menjalankan tugas dengan selamat,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa yang juga penuntut tahun akhir Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) lemas ketika melakukan kerja penyelenggaraan di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 dan 2.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.51 pagi itu, mangsa dipercayai berada di atas tangki air sebelum tersedut masuk ke dalam tangki dan gagal menyelamatkan diri.