Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan geran tahunan bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 bermula Januari tahun hadapan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti keperluan semasa serta mengambil kira peranan besar yang dimainkan KRT dalam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Katanya, kenaikan itu merupakan yang pertama dilaksanakan selepas tempoh 10 tahun.
“Bagi KRT ini, sudah 10 tahun kadar geran kekal RM6,000. Kali ini saya bersetuju untuk menambah peruntukan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Sehubungan itu, beliau meminta semua KRT di seluruh negara menghantar laporan kewangan serta aktiviti masing-masing dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan penyaluran peruntukan dibuat lebih awal pada tahun depan.
Anwar berkata, ketika ini terdapat sebanyak 8,615 KRT di seluruh negara yang melibatkan kira-kira 250,000 anggota, dengan hampir 100,000 aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan bantuan kepada institusi pendidikan Islam melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok pengajian.
Menurutnya, kerajaan komited untuk meneruskan semula bantuan kepada SAR selepas peruntukan berkenaan dihentikan sejak tahun 2003.
Katanya, kerajaan mula mengembalikan semula bantuan tersebut pada tahun 2023 selepas melihat banyak institusi berdepan masalah kemudahan daif termasuk tandas yang tidak sempurna dan asrama yang kurang selamat.
“Kerajaan mengambil keputusan untuk membantu SAR dan institusi pendidikan Islam di seluruh negara termasuk di Johor.
“Bagi Johor sahaja, sebanyak 16 projek telah diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.205 juta,” katanya.