Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jofliam Rakyat Malaysia Pertama Diiktiraf Cef Piza Oleh APN
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Bermula dengan sekadar hobi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19, kini Jofli Abu Bakar, 35, merupakan cef piza yang diiktiraf oleh Organisasi Piza Napoli (APN) di Itali, bersama dua lagi rakannya dan dinobatkan sebagai 16 pasukan terbaik daripada 50 pasukan yang bertanding.
Beliau yang lebih mesra disapa Jo atau Jofliam menyertai pertandingan Tutto Pizza di Napoli, menjadi rakyat Malaysia pertama bertanding pada acara tahunan itu bersama dua rakannya dari Itali, Salavatore Miil dan Vincenzo Di Nuzzo mewakili Malaysia
Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur ketika beliau ditemu ramah sebelum memulakan pertandingan yang mengumpulkan pembuat dan jenama piza terkenal di Itali, semalam.
“Pada awalnya saya nak bawa pasukan saya dari Malaysia, tetapi bila difikirkan penganjur pertandingan tidak sediakan peti ais, mesin uli dan perkakas lain, kena bawa dari Malaysia. Jadi saya hubungi Salvatore untuk beritahu bahawa saya nak sertai pertandingan untuk bawa nama Malaysia.
“Saya tanya sama ada dia sudi nak sertai saya dan dia berbesar hati untuk wakili Malaysia. Kita tahu orang Itali ini patriotik tinggi, jadi bila Salvatore sanggup wakili Malaysia ia satu penghormatan untuk saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau yang merupakan seorang pempengaruh media sosial dan ahli perniagaan turut berkata mengikut pemarkahan, beliau diberitahu berada di tempat keempat.
“Saya kena berfikir banyak kali sebab sudah tentu kalau kita masuk pertandingan seperti ini, kita terpaksa meninggalkan anak-anak sebab mereka (penganjur) akan beri kita penempatan sendiri dan kita akan dipisahkan dengan dunia luar,” katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi motivasinya untuk bertanding pada pertandingan itu ialah anak sulungnya, Han Jofli, 8, yang menyatakan kekaguman setiap kali Jofliam membuat piza daging wagyu di rumah untuk pelanggannya.
“Saya mahu tunjukkan kepada anak-anak saya bahawa bila kita mahukan sesuatu, kita kena buat sehabis baik untuk dapatkannya sebab saya tidak suka bercakap, saya suka praktikkan terus barulah anak-anak saya ikut,” katanya.
Ditanya mengenai rancangannya selepas pulang ke Malaysia membawa sijil daripada pertandingan piza terbesar di Itali itu, Jofliam berkata beliau belum memutuskan perjalanan seterusnya dan akan terus berusaha menjadi yang terbaik dan tawakal.
Beliau turut berharap selepas ini akan ada lagi peserta dari Malaysia yang mengikut jejaknya membawa nama negara untuk ke pentas antarabangsa menerusi pertandingan-pertandingan membuat piza yang dianjurkan di Itali.
BACA: “Suka Hati Hampalah”, The Melvins Tak Heran Konsert Coldplay, Lagi Minat Ceramah Agama
Sumber: Bernama