Jom Serbu, IKEA Kuching Bakal Dibuka Disember Ini
IKEA Malaysia hari ini mengumumkan IKEA Kuching akan mula beroperasi pada Disember 2026, menandakan satu lagi langkah penting bagi pengembangan IKEA di Malaysia Timur, serta membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada rakyat Sarawak.
IKEA Kuching akan menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia serta gedung pertamanya di Sarawak. Gedung baharu ini memperkukuh kehadiran IKEA di rantau ini, yang sebelum ini disokong melalui e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan. Pelanggan kini berpeluang mendapatkan inspirasi kelengkapan rumah, meneroka pelbagai produk serta menikmati kepakaran IKEA secara lebih dekat.
“Kami telah mendengar maklum balas pelanggan di Sarawak, dan kami teruja kerana IKEA Kuching bakal membuka pintunya tidak lama lagi untuk menyambut mereka,” kata Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys.
“Cita-cita kami sentiasa untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik bagi seramai mungkin orang. Pembukaan IKEA Kuching membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat tersebut dengan menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses serta lebih relevan dengan cara hidup masyarakat di sini.”
Format Gedung Berbeza, Namun Tetap Pengalaman IKEA Yang Sama
Berbeza daripada empat gedung IKEA berskala besar yang kini beroperasi di Malaysia, IKEA Kuching memperkenalkan gedung berformat kecil, yang direka untuk menghimpunkan pengalaman IKEA dalam suasana yang lebih kompak dan mudah diterokai.
Pelanggan boleh mendapatkan inspirasi untuk kediaman mereka, meneroka pelbagai penyelesaian kelengkapan rumah serta membeli produk terpilih untuk dibawa pulang pada hari yang sama. Mereka juga boleh memilih daripada rangkaian produk IKEA yang lebih luas.
Format ini direka bagi memudahkan pelanggan mencari inspirasi dan penyelesaian yang sesuai, sama ada untuk membuat penambahbaikan kecil di rumah, merancang sesuatu ruang atau melengkapkan keseluruhan kediaman.

Inspirasi daripada Kehidupan Harian Masyarakat Sarawak
Menjelang pembukaan IKEA Kuching, IKEA meluangkan masa untuk memahami cara hidup masyarakat setempat, termasuk mengunjungi beberapa kediaman di Kuching bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang keperluan, cabaran dan aspirasi harian mereka.
Kajian tersebut mendapati kehidupan di rumah masyarakat Kuching banyak dipengaruhi oleh nilai kekeluargaan, kebersamaan dan semangat meraikan tetamu. Ruang tamu dan ruang makan lazimnya digunakan untuk pelbagai aktiviti, daripada meluangkan masa bersama keluarga hingga menerima kunjungan keluarga besar dan rakan-rakan. Sementara itu, pengurusan dan penyimpanan barangan kekal menjadi cabaran biasa bagi kediaman bertanah mahupun bertingkat.
“Masyarakat di Kuching sudah mengenali IKEA, namun kami mahu apabila mereka melangkah masuk ke IKEA Kuching, mereka turut melihat refleksi kehidupan mereka sendiri di rumah,” tambah Malcolm Pruys. “Sama ada menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul, mencari cara lebih baik untuk menyusun barangan harian atau memaksimumkan fungsi sesuatu ruang, kami mahu menawarkan penyelesaian yang praktikal, mudah dilaksanakan dan relevan.”
Menjadikan IKEA lebih mudah diakses
Pembukaan IKEA Kuching merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan IKEA Malaysia untuk menjadikan kelengkapan rumah yang direka dengan baik dan berfungsi mudah diakses oleh lebih ramai orang.
Menjelang pembukaan IKEA Kuching, IKEA Malaysia juga akan mula bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membentuk pasukan rakan sekerja di Kuching. Tumpuan akan diberikan kepada penyediaan peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang bersama IKEA, serta membantu membawa pengalaman IKEA kepada masyarakat Sarawak.
IKEA Kuching dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026, dengan maklumat lanjut mengenai kedai, tarikh pembukaan rasmi dan pelbagai aktiviti menarik yang menanti pelanggan akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Hej Kuching, kita akan bertemu tidak lama lagi!
Untuk maklumat lanjut mengenai IKEA, layari laman web berikut, IKEA.my.
