Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPA Tawar 640 Slot Penajaan Kepada Lepasan SPM Cemerlang Tahun Ini

SPM
Kredit: Bernama

JPA Tawar 640 Slot Penajaan Kepada Lepasan SPM Cemerlang Tahun Ini

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menawarkan sebanyak 640 slot penajaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini yang memperoleh keputusan cemerlang.

Menerusi satu kenyataan, JPA memaklumkan semakan keputusan penajaan boleh dibuat secara dalam talian bermula hari ini sehingga 22 Jun depan.

Menurut JPA, penawaran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memperkukuh pembangunan bakat negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam melahirkan modal insan berprestasi tinggi.

Katanya, inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen jabatan itu dalam memastikan pelajar cemerlang terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di dalam dan luar negara.

“Bagi tahun 2026, sebanyak empat program utama ditawarkan melibatkan Program Penajaan Nasional (PPN) sebanyak 30 slot, Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) sebanyak 200 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) sebanyak 140 slot serta Program Khas JPA-MARA (PKJM) sebanyak 270 slot,” menurut kenyataan itu hari ini.

JPA berkata, penajaan tersebut merangkumi pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial bagi menyokong agenda pembangunan negara.

Melalui program itu, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka di beberapa negara seperti United States, Australia, Japan, South Korea, France, Germany, United Kingdom dan New Zealand selain IPT tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan bermula jam 10 pagi hari ini sehingga jam 5 petang pada 22 Jun melalui sistem yang disediakan JPA.

JPA turut memaklumkan semua pelajar yang berjaya menerima tawaran Penajaan Lepasan SPM Tahun 2026 akan menerima penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan pada Jun 2025.

Katanya, pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen jabatan itu dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik selain menggalakkan penerima penajaan terus mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.

“JPA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tahun 2026. Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan,” katanya.

JPA berharap penajaan yang diberikan dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi profesional serta pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.