Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah rumah banglo di Tanjung Lobang terbongkar selepas diserbu polis dalam satu operasi khas.
Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 17 Jun lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Miri berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi yang dibeli daripada beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya Miri sebelum dijual kepada sindiket pada harga yang dipersetujui.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan tangki kenderaan persendirian dan tong jenis jerry can untuk membeli diesel bersubsidi sebelum memindahkannya ke dalam tangki yang disediakan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam operasi itu, polis turut merampas kira-kira 15,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta beberapa tangki dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM131,079.
Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.
Menurut Mohd Farhan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau berkata kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, malah menjejaskan rantaian bekalan bahan api kepada pengguna yang layak.
Katanya, pengusaha stesen minyak turut diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau KPDN Cawangan Miri bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan dan penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya.