Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri “H” sempena sambutan Hari Malaysia 2026 menerusi sistem JPJeBid mulai 16 hingga 20 September ini.
Bidaan tersebut dibuka sehingga jam 10 malam pada 20 September, manakala keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September.
Nombor Pendaftaran Istimewa Siri “H”
Huruf “H” yang membawa maksud “Harmoni” mempunyai nilai istimewa kerana ia merupakan siri terakhir nombor pendaftaran satu abjad atau single prefix yang akan dikeluarkan oleh JPJ.
Pelancaran NPI Siri “H” itu diumumkan pada Majlis Interaksi Media JPJ yang berlangsung di Presint Merdeka 118, malam tadi, sebagai sebahagian daripada usaha jabatan menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat serta inisiatif JPJ kepada masyarakat.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, YBhg. Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ dan media sentiasa bergerak seiring sebagai rakan strategik bagi memastikan maklumat yang tepat, pantas dan berkesan dapat disampaikan kepada rakyat.
Beliau berkata kerjasama antara JPJ dan media penting dalam memastikan masyarakat menerima maklumat berkaitan dasar, perkhidmatan serta inisiatif jabatan secara jelas dan berkesan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, YBhg. Datuk Jazmanie Shafawi; Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, YBhg. Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan; serta Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, YBrs. Tuan Khairil Anuar Karim.
Turut hadir pengarah-pengarah bahagian dan negeri, pegawai kanan serta rakan strategik JPJ.

